Skip to main content

Bisnes

Kutipan cukai negara meningkat kepada RM129.6 bilion pada separuh pertama 2026

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kutipan hasil cukai negara meningkat sembilan peratus kepada RM129.6 bilion pada separuh pertama 2026 berbanding RM119.1 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, peningkatan hasil tersebut antaranya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi serta kutipan cukai jualan dan cukai perkhidmatan terutamanya daripada sektor makanan dan minuman, perkhidmatan, insurans serta logistik.

Katanya kerajaan turut komited untuk mencapai sasaran kutipan hasil cukai bagi keseluruhan tahun 2026 berjumlah RM343.1 bilion.

“Pertumbuhan ekonomi makro yang stabil dijangka terus memberi kesan positif kepada peningkatan kutipan cukai.

“Langkah reformasi percukaian yang bersasar turut berperanan untuk memastikan mekanisme kutipan hasil yang lebih efektif dan menjadi asas dalam membina kepercayaan pelabur, kestabilan ekonomi serta daya saing negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengenai jumlah keseluruhan kutipan cukai negara bagi tahun semasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement