Skip to main content

Malaysia

AGC perlu kemukakan afidavit balas berhubung isu tahanan rumah Najib - Saifuddin Nasution

Saifuddin berkata, dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan perlu diklasifikasikan terlebih dahulu bagi membolehkan Peguam Negara menggunakan maklumat berkaitan dalam penyediaan afidavit berkenaan. - Foto BERNAMA
Saifuddin berkata, dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan perlu diklasifikasikan terlebih dahulu bagi membolehkan Peguam Negara menggunakan maklumat berkaitan dalam penyediaan afidavit berkenaan. - Foto BERNAMA

Ringkasan AI

  • Jabatan Peguam Negara perlu mengemukakan afidavit balas yang merangkumi butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan permohonan semakan kehakiman Badan Peguam.
  • Dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan perlu diklasifikasikan sebelum digunakan dalam penyediaan afidavit balas oleh Peguam Negara.
  • Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang mencabar pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak dan memohon penangguhan aturan tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu mengemukakan afidavit balas yang antara kandungannya merangkumi butiran mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi menjawab permohonan semakan kehakiman difailkan Badan Peguam berhubung pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.

Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dokumen minit mesyuarat Lembaga Pengampunan perlu diklasifikasikan terlebih dahulu bagi membolehkan Peguam Negara menggunakan maklumat berkaitan dalam penyediaan afidavit berkenaan.

Katanya, perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan direkodkan dalam minit mesyuarat adalah antara kandungan penting yang perlu dimasukkan bagi melengkapkan afidavit balas kerajaan.

Advertisement

"Jadi dalam mengemukakan afidavit balas, antara kandungan penting yang mesti dimasukkan adalah berkenaan dengan mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berkenaan, yang semuanya diminitkan.

"Jadi tentunya dokumen itu perlu diklasifikasikan dahulu bagi membolehkan Peguam Negara membuat satu afidavit balas," katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri PDRM Fun Run 2026 di Dataran Merdeka di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, proses pengklasifikasian dokumen berkenaan dibuat susulan permohonan semakan kehakiman yang dimulakan Badan Peguam, sekali gus memerlukan kerajaan mengemukakan jawapan melalui afidavit balas.

"Jadi AG mesti menjawab. Untuk menjawab mesti melalui afidavit. Afidavit hanya lengkap jika perkara yang berlaku dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan itu dimasukkan dalam kandungan afidavit.

"Tapi dokumen itu tidak sepatutnya didedahkan. Saya tak nak komen lebih daripada itu," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai tujuan pendedahan dokumen berkenaan, sambil menegaskan kerajaan tidak berada pada kedudukan untuk memberikan penjelasan lanjut mengenainya.

Dalam konteks undang-undang dan pentadbiran rasmi  dokumen diminitkan bermaksud sesuatu dokumen, surat, laporan atau keputusan direkodkan secara rasmi ke dalam fail atau minit mesyuarat untuk tujuan rujukan, tindakan susulan, dan pembuktian sah.

Sebelum ini, Majlis Peguam memfailkan permohonan undang-undang bagi mencabar pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu dengan alasan ia tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai asas di bawah undang-undang Malaysia.

Badan guaman itu memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk membatalkan prosiding serta keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan aturan tahanan rumah yang diberikan pada 18 September lalu.

Majlis Peguam turut memohon pelaksanaan aturan itu ditangguhkan, sekiranya kebenaran diberikan, sementara menunggu penyelesaian semakan kehakiman berkenaan.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement