KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengasingkan simpanan syariah dengan simpanan konvensional bermula Januari 2024.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah, pengasingan itu membolehkan fokus khusus diberikan kepada pelaburan syariah terhadap aset kelas tertentu mengikut strategi berbeza.

"Skim ini sudah mencapai tahap matang dan kita boleh tambah baik dengan mengasingkan dengan skim konvensional.

"Ini bukan kerana ia halal atau pun tidak, sebaliknya jika kita hanya ada satu sahaja lokasi aset, skim syariah terpaksa mengikut skim konvensional.

"Melalui cara ini, kita boleh berikan skim simpanan syariah untuk mencari strategi lain," katanya selepas taklimat media pengumuman prestasi kewangan KWSP di sini, pada Sabtu.

BACA: KWSP umum dividen 5.35 peratus untuk konvensional, 4.75 peratus untuk syariah

Skim simpanan syariah mula diperkenalkan pada 2017 dengan jumlah ahli sebanyak 1.5 juta ketika ini.

Pada 2022, KWSP mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM55.33 bilion dengan RM6.83 bilion diperuntukan kepada simpanan syariah.

Tambah Amir, KWSP juga akan memudahkan lagi urusan pertukaran skim konvensional ke skim syariah bagi ahli yang mahu memohon bermula tahun hadapan.

Setakat 2022, kelas aset KWSP merangkumi 42 peratus ekuiti, 47 peratus pendapatan tetap, tujuh peratus hartanah dan infrastruktur, manakala baki empat peratus adalah dalam pasaran wang.