KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu mencapai pulangan yang sama seperti tahun 2023 pada 2024, dengan syarat ia mengekalkan strategi optimumnya tanpa gangguan luar, kata seorang ahli akademik.

Profesor Geoffrey Williams, ahli ekonomi dan ketua penyelidikan dan inovasi di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia yakin cabaran pada 2024 adalah lebih kurang sama seperti tahun sebelumnya yang akan memberi peluang kepada KWSP untuk meningkatkan prestasinya.

Beliau berkata kadar dividen KWSP sebanyak 5.5 peratus untuk dana konvensional bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023, adalah baik dan sejajar dengan jangkaannya iaitu pada 5.5-6.0 peratus.

Jumlah pengagihan KWSP bagi 2023 yang berjumlah RM57.81 bilion adalah 13 peratus lebih tinggi daripada RM51.14 bilion pada 2022, katanya.

"Ini mencerminkan strategi pelaburan cemerlang tahun lepas oleh KWSP di bawah pimpinan bekas ketua pegawai eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang kini merupakan Menteri Kewangan II," katanya kepada Bernama.

Williams berkata jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion dan pengagihan RM57.8 bilion membuktikan bahawa strategi pengurusan portfolio yang baik melibatkan aset dalam dan luar negara boleh memastikan dana simpanan persaraan itu terus mencatatkan prestasi walaupun dalam keadaan sukar.

"Ia juga menunjukkan bahawa jika dana besar baharu berasingan yang mempunyai saiz yang sama seperti itu ditubuhkan dengan menggabungkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang berprestasi rendah, pulangan itu boleh menyelesaikan masalah pencen perkhidmatan awam malah menyediakan Pencen Asas Sejagat untuk semua orang," katanya.

Beliau berkata dana besar baharu itu malahan boleh dikendalikan oleh pengurus portfolio KWSP, yang berpotensi menghasilkan pulangan seperti yang dicapai pada 2023.

"Namun apa yang menyedihkan ialah berikutan polisi pengeluaran KWSP, berjuta-juta orang tidak boleh mendapat manfaat kerana akaun mereka telah kehabisan," kata Williams.

Pada Januari, KWSP mengumumkan insentif Caruman Tambahan Kerajaan RM708 juta untuk 1.4 juta ahli berumur antara 40 dan bawah 55 tahun dengan simpanan KWSP sebanyak RM10,000 dan ke bawah dalam Akaun 1 mereka pada 24 Feb, 2023.

"Jadi, 1.4 juta ahli akan mendapat bonus dividen sebanyak RM500 setiap seorang, namun hakikatnya mereka tidak mempunyai apa-apa dalam akaun mereka.

"Itulah sebab mengapa satu dana besar baharu Malaysia perlu ditubuhkan untuk membantu semua orang, malah mereka yang tidak mempunyai simpanan pencen pada masa ini," katanya.

Sementara itu, ketua ekonomi Bank Muamalat Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dividen KWSP bagi Tahun Kewangan 2023 itu dianggap agak tinggi memandangkan pasaran kewangan global yang tidak menentu berikutan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat serta ketidaktentuan geopolitik, termasuk kebimbangan terhadap ekonomi China di tengah-tengah krisis pasaran hartanahnya.

"Dalam keadaan sedemikian, KWSP mampu mencatatkan dividen yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya, dan strategi kepelbagaian portfolio ke pasaran global telah membantu mereka menjadikan portfolio itu lebih berdaya tahan," katanya.

Mohd Afzanizam berkata pendaftaran baharu yang berterusan untuk majikan dan ahli menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia semakin bertambah baik manakala pasaran buruh disifatkan berada pada status pekerjaan penuh.

"Ini membolehkan pekerja mencarum kepada dana KWSP, dan perniagaan yang mengambil pekerja baharu perlu mendaftar dan mencarum kepada KWSP," katanya.

Menurut KWSP, sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah kesemua ahli KWSP seramai 16.07 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif, yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

-- BERNAMA