BUSINESS
KWSP kekal fokus tingkatkan pelaburan dalam ketidaktentuan pasaran

Pemulihan pasaran global dan domestik memainkan peranan penting dalam peningkatan prestasi pelaburan KWSP tahun lalu. - Foto fail/BERNAMA
KWASA DAMANSARA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal komited untuk memberikan pulangan yang stabil dan kompetitif untuk membina keselamatan kewangan ahli dengan mengutamakan keseimbangan pelaburan dan pengurusan portfolio yang berhemah seiring dengan turun naik pasaran.
Bagi tahun kewangan 2024, KWSP telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan pengumuman kadar dividen 6.30 peratus bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah dengan jumlah agihan keseluruhan sebanyak RM73.24 bilion.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menyatakan bahawa pemulihan pasaran global dan domestik memainkan peranan penting dalam peningkatan prestasi pelaburan tahun lalu.
“Strategi pelaburan yang pelbagai membolehkan kami mengoptimumkan pulangan sambil mengekalkan ketahanan kewangan jangka panjang ahli,” kata Mohd Zuki.Aset pelaburan KWSP meningkat 10 peratus kepada RM1.25 trilion, dipacu oleh pertumbuhan portfolio dan jumlah caruman bersih yang lebih tinggi.
Keahlian KWSP turut mencatat pertumbuhan kukuh, dengan jumlah ahli mencecah 16.22 juta, termasuk peningkatan 32 peratus dalam pencarum sukarela.
Program i-Saraan menyaksikan lonjakan penyertaan sebanyak 38 peratus, mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi mengenai kepentingan simpanan persaraan.
Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, KWSP mengamalkan pendekatan seimbang bagi memastikan pulangan yang mampan dan adil kepada semua ahli.
Melangkah ke 2025, KWSP akan terus memperkukuhkan strategi pelaburan berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) dałam mengekalkan kestabilan menghadapi cabaran dalam ketidaktentuan pasaran.
Pulangan jangka panjang menjadi keutamaan bagi memastikan dividen yang berdaya saing terus dikekalkan pada masa hadapan.
Instrument pendapatan kekal menjadi tunjang utama portfolio dalam mengekalkan pulangan stabil serta mengurangkan kesan turun naik pasaran jangka pendek.
Sementara itu, pelaburan domestik akan terus diberikan fokus untuk merangsang pertumbuhan ekonomi selaras dengan agenda Ekonomi MADANI.
Dengan pendekatan ini, KWSP komited untuk mengekalkan peranannya sebagai institusi simpanan persaraan yang dipercayai serta memastikan dividen yang berdaya saing untuk lebih 16 juta ahli dalam usahanya membina masa hadapan persaraan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami