Tiada cukai baharu yang secara langsung memberi impak kepada syarikat tetapi Belanjawan 2019 memperkenalkan beberapa langkah ketat termasuk had sehingga tujuh tahun ke atas membawa ke hadapan kerugian, elaun modal dan insentif yang tidak dapat diserap, kata Ketua Cukai PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia Jagdev Singh.

Dari segi sektor, katanya syarikat dalam sektor permainan perlu menanggung duti tambahan manakala syarikat Malaysia dengan urus niaga Labuan (terutamanya syarikat pajakan Labuan) juga perlu mengkaji semula daya maju struktur semasa, berdasarkan langkah-langkah baharu yang dikenakan ke atas urus niaga tersebut.

Katanya, syarikat yang terlibat dalam Industri 4.0 dan sektor teknologi yang lebih luas berpeluang untuk meraih manfaat daripada pembiayaan tambahan untuk menggalakkan pertumbuhan dalam sektor ini.

Beliau berkata kerajaan mendengar permintaan menjadikan sistem percukaian lebih mesra perniagaan.

"Pengecualian cukai perkhidmatan bagi urus niaga perniagaan kepada perniagaan (B2B) antara syarikat berdaftar wajar dalam menghapuskan kesan cukai melata, yang membawa kepada kos lebih rendah kepada perniagaan tersebut.

"Ini ternyata akan mengurangkan beban pentadbiran ke atas perniagaan yang mungkin wujud, atau, memerlukan pengecualian berdasarkan kes demi kes. Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan turut menyaksikan kadar cukai korporat mereka berkurangan sebanyak satu peratus ke atas pendapatan RM500,000 pertama mereka," katanya.

Mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela, Jagdev berkata program ini bukan baharu berikutan program sama telah dilaksanakan pada 2015 dan 2016.

Bagaimanapun, kadar yang ditawarkan dalam belanjawan ini lebih menarik berbanding program sebelum ini yang hanya menawarkan pengurangan sebanyak 10 hingga 20 peratus daripada kadar asal, katanya.

Belanjawan 2019 turut mengenakan penalti selepas tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela yang jauh lebih berat, katanya.

Walaupun ini adalah langkah baik untuk menggalakkan pembayar cukai tampil ke hadapan, kadar itu perlu dilaksanakan dengan berhati-hati berikutan langkah tersebut hanya perlu dilaksanakan ke atas pembayar cukai yang sengaja tidak mengisytiharkan atau belum mengisytiharkan cukai, katanya.

"Pembayar cukai yang mempunyai kedudukan yang munasabah yang mungkin tidak semestinya dipersetujui oleh pihak berkuasa cukai tidak seharusnya termasuk di bawah kategori itu," katanya.

Mengenai perluasan senarai perkhidmatan di bawah rejim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk memasukkan perkhidmatan import, katanya, ini perlu untuk memastikan persaingan yang adil, terutamanya apabila perkhidmatan boleh diperoleh dalam negara.

Beliau berkata Belanjawan 2019 turut memperkenalkan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital.

Walaupun ini merupakan langkah yang baik untuk memastikan perkhidmatan yang diimport tidak diberikan layanan keutamaan, belanjawan tersebut masih tidak menangani isu yang dihadapi oleh kebanyakan negara membangun dan maju, iaitu, cukai ke atas ekonomi digital, kata Jagdev.

Mengenai impak ke atas orang ramai, katanya walaupun tiada perubahan dari segi kadar cukai atau pelepasan (selain pelepasan yang disediakan untuk caruman KWSP dan premium insurans hayat), terdapat beberapa inisiatif untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Dalam meneruskan trend sebelum ini, terdapat beberapa langkah untuk membantu orang ramai mendapatkan rumah.

Misalnya, subsidi akan lebih bersasar pada masa akan datang dan pemberian tunai dalam bentuk Bantuan Sara Hidup akan diteruskan.

Ia juga tepat pada masanya untuk menyaksikan langkah khusus bagi mengambil pekerja yang berusia 60 tahun ke atas, kata Jagdev.

Secara keseluruhannya, Belanjawan 2019 mengumumkan langkah-langkah untuk menangani paras hutang, keperluan kepada perbelanjaan berhemat, dan kepentingan untuk meningkatkan sumber hasil lain bagi menggantikan pendapatan Cukai Barang dan Perkhidmatan, katanya.

-- BERNAMA