Skip to main content

Bisnes

PKS digesa tingkat keupayaan, terap piawaian ESG di bawah NIF

51738674540_Afzanizam.jpg
Afzanizam berkata, kerajaan juga perlu mencari keseimbangan dalam menyediakan insentif di bawah rangka kerja berasaskan hasil itu tanpa menjadikannya terlalu ketat kepada PKS. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu meningkatkan keupayaan serta menyesuaikan diri dengan persaingan global dan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang semakin meningkat di bawah Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) bagi memastikan mereka terus kekal dalam rantaian bekalan global, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Abdul Rashid berkata kerajaan juga perlu mencari keseimbangan dalam menyediakan insentif di bawah rangka kerja berasaskan hasil itu tanpa menjadikannya terlalu ketat kepada PKS.

Afzanizam berkata landskap global yang semakin mencabar termasuk peningkatan risiko geopolitik, tarif dan kebimbangan berkaitan iklim memerlukan perancangan teliti serta keputusan pengagihan sumber yang berkesan oleh kerajaan.

“Dalam kes PKS, sama ada suka atau tidak, mereka perlu menerima tekanan daya saing ini dan meningkatkan keupayaan masing-masing. Jika tidak, jurang pendapatan akan terus melebar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk “Tax Reforms: Navigating the Outcome-Based Era, A Strategic Briefing” pada Seminar Rangka Kerja Insentif Baharu Malaysia (NIF) anjuran Malaysian Investment Development Authority di sini hari ini.

Merujuk pengalaman Pulau Pinang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), beliau berkata syarikat tempatan boleh bergabung dengan syarikat multinasional dan seterusnya mengembangkan perniagaan mereka sekiranya ekosistem serta sokongan dasar yang sesuai diwujudkan.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan Malaysia Datuk John Patrick Antonysamy berkata antara enam aspirasi pelaburan baharu di bawah NIF adalah memperluas jaringan domestik dengan menggalakkan pelabur asing yang beroperasi di Malaysia mengintegrasikan pembekal tempatan dalam rantaian bekalan mereka.

Beliau berkata kerajaan mahu pelabur yang menjalankan aktiviti pengeluaran dan perniagaan di Malaysia bekerjasama rapat dengan syarikat tempatan khususnya PKS meskipun ada di antaranya mungkin belum memenuhi piawaian atau tahap kualiti yang diperlukan.

Bagi menyokong usaha itu, katanya kerajaan memperkenalkan pakej insentif cukai jaringan domestik yang menggalakkan pelabur memperuntukkan dana bagi melatih syarikat tempatan serta memindahkan kepakaran untuk membantu mereka memasuki rantaian bekalan global.

“Kami mahu syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan pelabur,” katanya sambil menambah usaha itu akan menjadikan pelaburan lebih mampan apabila pelabur semakin bergantung kepada pembekal tempatan. 

PKS juga pada akhirnya akan mendapat manfaat dengan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai, sejajar matlamat lebih luas NIF untuk meningkatkan penyertaan ekonomi dan memperkukuh jaringan domestik.

-- BERNAMA

Must Watch Video