KUALA LUMPUR: ETRONAS Gas Bhd (PGB) mencatatkan untung bersih lebih rendah sebanyak RM438.68 juta pada suku pertama (S1) berakhir pada 31 Mac 2026, susut berbanding RM468.79 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, selaras dengan keuntungan kasar yang lebih rendah, selain keuntungan yang lebih rendah yang dijana daripada pelaburan dana.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PGB berkata pendapatan bagi suku tersebut juga merosot 0.6 peratus kepada RM1.58 bilion daripada RM1.59 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Menurut kumpulan itu, pendapatan yang lebih rendah itu sebahagian besarnya disebabkan oleh perolehan yang lebih rendah daripada segmen utiliti berikutan harga produk yang lebih rendah.
“Kesan ini diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi daripada segmen pengangkutan gas susulan pelarasan tarif yang meningkat dan peningkatan sumbangan daripada segmen penggasan semula daripada perkhidmatan penyimpanan gas asli cecair (LNG) di Pengerang, Johor, bermula pada Ogos 2025,” katanya.
PGB turut mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham biasa berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan akan dibayar pada 23 Jun 2026.
Mengenai prospek, PGB menjangkakan ia akan kekal berdaya tahan pada 2026, meskipun terhadap tekanan margin, terutamanya dalam segmen utiliti, disebabkan oleh harga bahan api gas yang lebih tinggi di tengah-tengah ketidakpastian geopolitik global yang berterusan.
Katanya, sumbangan daripada segmen pengangkutan gas, penggasan semula dan pemprosesan gas dijangka terus memberikan kestabilan pendapatan, disokong oleh rangka kerja yang dikawal selia dan kontrak jangka panjang yang stabil.
“Bagaimanapun, PGB tetap prihatin terhadap potensi kesan tidak langsung daripada perkembangan geopolitik, termasuk tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan.
“PGB kekal komited untuk mengukuhkan daya tahan operasi, kecemerlangan komersial dan pengoptimuman kos, sambil terus mencapai pertumbuhan strategik jangka panjang untuk mengekalkan kualiti pendapatan bagi semua pemegang saham,” tambah PGB.
-- BERNAMA