Skip to main content

Dunia

GSF 2.0: Menteri Luar 10 negara kecam tindakan Israel, desak pembebasan aktivis flotila

Sumud Nusantara Official
Menteri-menteri luar berkenaan menyatakan penahanan aktivis merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, dan menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta menggesa supaya hak dan maruah mereka dihormati. -Gambar fail/Sumud Nusantara Official

AMMAN: Menteri Luar dari 10 negara termasuk Jordan, Indonesia, Sepanyol, Pakistan, Brazil, Bangladesh, Turkiye, Colombia, Libya dan Maldives mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk tindakan Israel terhadap kapal bantuan Global Sumud Flotilla.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Jordan, misi flotila itu merupakan inisiatif kemanusiaan awam yang bertujuan menarik perhatian antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan di Palestin.

Kenyataan itu turut menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan memintas kapal di perairan antarabangsa serta sebarang tindakan agresif yang menyasarkan kapal awam dan aktivis kemanusiaan.

 

 

"Para Menteri mengingatkan kembali dengan penuh kebimbangan mengenai campur tangan Israel terhadap flotila-flotila terdahulu di perairan antarabangsa dan mengecam tindakan ganas berterusan yang menyasarkan kapal-kapal awam serta aktivis-aktivis kemanusiaan," tulis kenyataan itu.

Menteri-menteri luar berkenaan menyatakan penahanan aktivis merupakan pelanggaran terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, dan menuntut pembebasan segera semua aktivis yang ditahan serta menggesa supaya hak dan maruah mereka dihormati.

"Para Menteri menzahirkan kebimbangan yang serius mengenai keselamatan dan perlindungan para peserta awam flotila tersebut dan mendesak pembebasan segera semua aktivis yang ditahan, serta penghormatan penuh terhadap hak dan maruah mereka.

"Para Menteri seterusnya menegaskan bahawa serangan berulang terhadap inisiatif kemanusiaan yang aman mencerminkan sikap terus mengabaikan undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran," tulis kenyataan itu lagi. 

Kenyataan sama turut menyeru komuniti antarabangsa memainkan peranan bagi memastikan keselamatan orang awam dan melindungi misi kemanusiaan, selain meningkatkan akauntabiliti terhadap sebarang pelanggaran undang-undang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement