KUALA LUMPUR: Syarikat perhubungan awam (PR) dan media, Larenme Sdn Bhd (Larenme), terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri komunikasi strategik dan pemasaran selepas mencatat pertumbuhan memberangsangkan sepanjang dua tahun operasinya.
Perkembangan itu diumumkan sempena sambutan ulang tahun kedua syarikat berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) baru-baru ini.
Dalam usaha memperluas portfolio perniagaan, Larenme kini mengendalikan aspek kerjasama jenama, endorsmen serta kolaborasi komersial bagi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, selain menguruskan empat lagi bakat tempatan iaitu SpaceDollah, Dzulfaqar, Papa Ayie dan Boss James.
Pengarah Eksekutif Larenme, Asyraf Khalid berkata, syarikat memberi tumpuan kepada pembangunan nilai jenama serta pengukuhan kedudukan komersial bakat-bakat yang diwakilinya menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak industri.
Menurut beliau, Larenme yang ditubuhkan pada tahun 2024 bermula sebagai syarikat berskala kecil dengan empat kakitangan sebelum berkembang kepada lebih 15 pekerja pada masa ini.
"Asas penubuhan syarikat ini bermula daripada keperluan untuk menghubungkan jenama korporat, selebriti dan pempengaruh dalam menjayakan pelbagai kempen pemasaran serta komunikasi strategik.
"Daripada perkhidmatan yang bermula secara kecil-kecilan, Larenme kini berkembang menjadi syarikat yang menawarkan penyelesaian komunikasi dan pemasaran yang lebih menyeluruh kepada pelanggan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Larenme, Nazrin Kamal berkata kejayaan syarikat turut dipacu oleh struktur pengurusan yang memberi tumpuan kepada pembahagian fungsi yang jelas antara aspek perancangan strategik dan pelaksanaan operasi.
Katanya, pendekatan itu membolehkan syarikat bergerak lebih pantas dalam memenuhi keperluan pelanggan selain menyesuaikan diri dengan landskap industri media dan pemasaran yang sentiasa berubah.
Ketika ini, Larenme menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk pengurusan media, kempen media sosial, penerbitan podcast dan pengurusan acara kepada pelanggan merangkumi syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), organisasi korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan perniagaan, Larenme turut menjalinkan kerjasama strategik dengan beberapa syarikat termasuk Nuffnang, Commerce.Asia, Mantayay dan Enrichment bagi memperluaskan rangkaian perniagaan serta mewujudkan peluang kerjasama baharu dalam sektor PR, media dan pemasaran digital.