TAIPING: Bertapak selama 32 tahun di Malaysia atau lebih khusus di Jalan Air Kuning, Taiping, Perak, keunggulan air mineral jenama Spritzer sememangnya diiktiraf sehingga di peringkat antarabangsa.

Umum mengetahui air merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian, tetapi tahukah anda bahawa bukan semua sumber air adalah sama?

Justeru, air mineral semulajadi Spritzer menawarkan pelbagai keunikan serta manfaat kepada tubuh badan manusia.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Spritzer Berhad, Dr Chuah Chaw Teo berkata, Spritzer telah menghasilkan air mineral botol melebihi 30 tahun.

Air mineral ini kaya dengan silika dan sumber air bawah tanahnya yang terletak di tanah seluas 330 ekar adalah terlindung oleh hutan hujan tropika yang belum tercemar.

Beliau turut menyarankan bahawa air mineral adalah pilihan yang lebih sihat kerana secara semula jadi mengandungi mineral yang bermanfaat kepada tubuh badan.


Air Mineral | Lebih 30 tahun, air mineral Spritzer kekal relevan

"Mineral membantu dalam proses pencernaan dan menjadi pemangkin untuk hormon, enzim dan fungsi badan.

"Ia juga melindungi tubuh badan daripada reaksi toksik dan keracunan logam berat.

"Badan manusia 60 peratus daripadanya mengandungi air, jenis air yang kita minum sememangnya penting untuk kesihatan tubuh.

"Kita perlu mengambil sekurang-kurangnya 1.5 liter air setiap hari untuk kekal terhidrat.

"Air sepatutnya boleh didapati di mana-mana tempat, tidak kira anda berada di rumah atau pejabat," jelasnya lagi.


Kepentingan silika

Jelas Chuah, kebaikan silika yang ada pada air mineral juga memberi kebaikan kepada kesihatan badan.

Katanya, silika merupakan mineral surih (trace mineral) penting yang memberi kekuatan dan fleksibiliti kepada tisu penghubung badan manusia.

"Air mineral Spritzer secara semula jadi mengandungi silika yang tinggi dan penyelidikan di United Kingdom (UK) menunjukkan bahawa 30 mg/l berkesan untuk mengeluarkan aluminium daripada badan.

"Ia membantu proses mensintesis kolagen dalam badan secara semula jadi. Kolagen penting untuk menjadikan kulit, rambut dan kuku sihat.

"Silika juga berupaya mengurangkan toksik aluminium dalam badan, yang mana ia adalah neurotoksin yang berisiko menyebabkan kehilangan daya ingatan," katanya.


Pembotolan tanpa sentuhan

Proses pembotolan air di sini juga sangat menitikberatkan aspek kebersihan serta tiada sentuhan tangan berlaku dari sumber air sehingga kepada botol.

"Uniknya air mineral ini ialah ia ditapis secara hygenic dan mengikut piawaian antarabangsa.

"Kami sangat pentingkan kualiti demi kebaikan semua," katanya.

Mineral membantu dalam proses pencernaan dan menjadi pemangkin untuk hormon, enzim dan fungsi badan.

Kesan pandemik COVID-19

Tidak terkecuali menerima tempias akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu, Spritzer ternyata mampu mengharungi situasi mencabar tersebut.

Malah mereka turut bersama-sama berganding bahu meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) khusus untuk menghulurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan serta masyarakat yang kurang bernasib baik.

"Keadaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika itu menyebabkan orang ramai tidak boleh melancong, selain itu pengambilan air mineral juga menurun memandangkan banyak kedai tidak boleh beroperasi.

"Namun begitu, situasi berkenaan membuka jalan untuk Spritzer berfikir luar dari kotak terutama melibatkan idea perniagaan.

"Kita dapat lihat peningkatan jualan e-com atau dalam talian melebihi 40 peratus, penggunaan isi rumah terhadap produk mini dispenser air juga sangat menggalakkan," katanya lagi.


Pengiktirafan dan anugerah

Apa yang menarik tentang air mineral ini ialah pada rasanya yang unik dan diakui sendiri oleh juri dan pakar rasa dari luar negara.

Bukan itu saja, Spritzer turut meraih anugerah Superior Taste Award oleh International Taste Institute (iTQi) untuk lima tahun berturut-turut.

"Kita hantar air mineral ke Belgium dan di situ mereka ada pakar untuk merasa air. Mereka mendapati air mineral itu agak unik daripada segi rasa dan lain daripada yang lain.

"Spritzer berjaya mendapat pengiktirafan tiga bintang, ini membuktikan air mineral di sini memang mempunyai rasa yang tersendiri," katanya lagi.