Skip to main content

Hiburan

"Maaf semua, kasi gegar itu stage!" - Hafiz Suip titip mesej kejutan di pentas GV Fantasia

Hafiz Suip mohon maaf secara terbuka menerusi tayangan klip khas pada konsert pembukaan GV Fantasia selepas mengesahkan tidak dapat bertanding demi menumpukan perhatian kepada isteri yang sarat hamil tujuh bulan serta menjaga bapanya di Kuching. - Foto: Instagram @normgoh11
Hafiz Suip mohon maaf secara terbuka menerusi tayangan klip khas pada konsert pembukaan GV Fantasia selepas mengesahkan tidak dapat bertanding demi menumpukan perhatian kepada isteri yang sarat hamil tujuh bulan serta menjaga bapanya di Kuching. - Foto: Instagram @normgoh11
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pada saat jutaan peminat ternanti-nanti kelibatnya membuat kemunculan semula, pentas konsert pembukaan Gegar Vaganza (GV) Fantasia malam tadi diselubungi emosi apabila satu rakaman pesanan khas daripada penyanyi bersuara emas, Hafiz Suip, ditayangkan secara eksklusif.

Menerusi tayangan klip video berkenaan, juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu secara terbuka memohon maaf kepada pihak produksi, rakan-rakan seperjuangan, serta peminat setia kerana terpaksa mengundurkan diri daripada menyertai saingan berprestij itu atas urusan komitmen peribadi.

"Saya Hafiz, di sini ingin mohon maaf kepada semua, sebab saya tak dapat sertai program GV Fantasia, atas urusan komitmen saya yang lain.

Advertisement

"Kepada sahabat saya, saya doakan yang terbaik untuk semua buat terbaik, kasi gegar dan pecah itu stage. Terimalah," luahnya ringkas dalam visual yang menyentuh hati penonton di auditorium mahupun di rumah.

Di sebalik keputusan sukar melepaskan pentas impian yang menghimpunkan kembali barisan juara fenomena berkenaan, tersimpan pengorbanan besar seorang lelaki yang meletakkan keluarga di tangga teratas.

Advertisement

Hafiz sebelum ini mengakui enggan memberikan komitmen separuh jalan tatkala isterinya, Fiona Saffiyya, kini sedang sarat hamil tujuh bulan dan menanti kelahiran cahaya mata lelaki mereka.

Bagi penyanyi yang sentiasa mendambakan kesempurnaan dalam setiap persembahan ini, persaingan sengit dan jadual latihan yang ketat dibimbangi akan menjejaskan fokusnya dalam menjaga kebajikan isteri pada fasa penting berkenaan.

Lebih meruntun hati, pilihan Hafiz untuk terus berpangkalan di Kuching, Sarawak turut didorong oleh rasa tanggungjawab dan kasih mendalam terhadap bapanya yang kini tinggal bersendirian di kampung halaman, sekali gus membataskan keupayaannya untuk kerap berulang-alik ke ibu kota bagi sesi latihan mingguan.

Walaupun ketiadaan vokal magisnya meninggalkan rasa ralat yang mendalam di pentas GV Fantasia, sokongan tulus Hafiz tetap mengiringi barisan rakan seangkatannya seperti Mawi, Vince Chong, Stacy, Shahir Zawani, Mila Jirin, Faizal Tahir, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir yang memulakan pertempuran vokal mereka.

Must Watch Video

Advertisement