Skip to main content

Bisnes

Lebihan akaun semasa Malaysia diunjur meningkat pada 2.1 peratus daripada KDNK pada 2026

51639092217_Kenanga.jpg
Kenanga IB dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan bahawa kedudukan luaran Malaysia harus kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan geopolitik yang berterusan akibat konflik di Asia Barat. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) mengunjurkan lebihan akaun semasa Malaysia bagi 2026 kekal kukuh, dengan mengekalkan jangkaan pada 2.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding 1.6 peratus pada 2025.

Bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini memaklumkan bahawa kedudukan luaran Malaysia harus kekal berdaya tahan di sebalik ketidaktentuan geopolitik yang berterusan akibat konflik di Asia Barat.

“Kos tenaga lebih mahal dan permintaan global berkurangan boleh menjejaskan sebahagian daripada perdagangan dunia, namun pendedahan Malaysia disokong oleh kitaran naik elektrik dan elektronik (E&E) serta kecerdasan buatan (AI), terutamanya semikonduktor, pelayan (server) dan infrastruktur pusat data.

“Angka KDNK suku kedua 2026 yang positif menyokong pandangan ini, dengan pertumbuhan meningkat kepada 6.0 peratus (suku pertama 2026: 5.4 peratus), manakala peningkatan semula dalam penghantaran gas asli cecair (LNG) dan barangan bukan E&E menambah lagi keluasan perdagangan,” menurut kenyataan itu.

Kenanga IB juga menyatakan bahawa perbelanjaan modal penyedia skala besar (hyperscaler) dan pelarasan inventori di negara-negara maju harus memastikan permintaan eksport Malaysia kekal disokong sepanjang tahun 2026, manakala perbelanjaan pelancongan dan infrastruktur digital dijangka meningkatkan eksport perkhidmatan.

“Ringgit yang lebih kukuh mungkin mendorong import lebih tinggi, dan kos tenaga kekal sebagai faktor penentu, bagaimanapun kami menjangkakan imbangan luaran kekal dalam lebihan, tambahnya,” menurut Kenanga IB.

Pada Jumaat, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengumumkan bahawa imbangan akaun semasa Malaysia mencatatkan lebihan sebanyak RM10.8 bilion pada suku kedua 2026, disokong oleh peningkatan ketara dalam lebihan barangan kepada RM40.7 bilion.

DOSM memaklumkan bahawa lebihan itu menampan penurunan dalam akaun perkhidmatan yang bertukar kepada defisit sebanyak RM0.7 bilion daripada lebihan RM6.4 bilion pada suku pertama 2026.

Sementara itu, Bank Negara Malaysia juga mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.0 peratus pada S2 2026, melepasi unjuran awal DOSM sebanyak 5.8 peratus, didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport kukuh.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement