Skip to main content

Bisnes

Ledakan AI pacu banyak syarikat Malaysia tersenarai ‘Terbaik Bawah Satu Bilion 2026' Forbes Asia 

71631140635_TBFORBESASIAjpg.jpg
Senarai ‘Terbaik Bawah Satu Bilion 2026’ menampilkan 200 syarikat tersenarai awam daripada kira-kira 19,000 syarikat di rantau Asia Pasifik yang mempunyai jualan tahunan melebihi US$10 juta (US$1 = RM4.09) dan bawah US$1 bilion.
Advertisement

SINGAPURA: Forbes Asia mengumumkan senarai ‘Terbaik Bawah Satu Bilion 2026’ yang menampilkan 200 syarikat tersenarai kecil dan sederhana berprestasi terbaik di Asia Pasifik, dengan jumlah syarikat Malaysia dalam senarai itu meningkat lebih dua kali ganda kepada 19.

Menurut Forbes Asia dalam kenyataan hari ini, lebih separuh daripada syarikat Malaysia yang disenaraikan menerima manfaat daripada ledakan pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di negara itu.

"Syarikat kecil dan sederhana yang disenaraikan dalam pengiktirafan itu pada tahun ini berjaya mengharungi cabaran ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran tenaga.

"Senarai kali ini didominasi oleh syarikat yang seiring dengan perkembangan pesat sektor teknologi dan ledakan AI global," menurutnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, China mencatatkan jumlah syarikat tertinggi yang disenaraikan iaitu 28 syarikat, diikuti India pada kedudukan kedua melibatkan 27 syarikat.

Syarikat Malaysia Southern Cable Group, pengeluar kabel voltan rendah dan voltan tinggi, membuat kemunculan pertama dalam senarai itu, dengan sokongan perkembangan pesat industri pusat data yang menyumbang sebanyak 15 peratus daripada hasil syarikat berjumlah RM1.8 bilion pada 2025.

Senarai ‘Terbaik Bawah Satu Bilion 2026’ menampilkan 200 syarikat tersenarai awam daripada kira-kira 19,000 syarikat di rantau Asia Pasifik yang mempunyai jualan tahunan melebihi US$10 juta (US$1 = RM4.09) dan bawah US$1 bilion.

Menurut Forbes Asia, syarikat perisian serta pembekal komponen elektronik utama dan peralatan untuk industri semikonduktor menyumbang 25 peratus daripada syarikat yang layak.

"Sebahagian syarikat lain pula memanfaatkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu yang semakin berkembang dengan memenuhi permintaan industri yang meningkat terhadap peralatan dan perkhidmatan khusus," menurutnya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement