BISNES
Lima pelajar IPT cabar diri buka bisnes aiskrim kelapa

Semua ini bermula apabila Imran Sheik membuat keputusan untuk merasai sendiri ais krim Sangkaya ini yang terletak di Jalan Alor, Bukit Bintang.
SIAPA sangka tatkala ramai pelajar memilih masa terluang untuk bersantai setelah seharian mentelaah pelajaran, ada juga yang memilih menceburi bidang perniagaan ketika masih menuntut.
Lima pelajar perundangan daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberanikan diri membuka cawangan perniagaan aiskrim diberi nama Sangkaya di SS15 di Subang Jaya walaupun perlu menghadiri kuliah secara sepenuh masa.
Ia bermula apabila Imran Sheik, 24, membuat keputusan untuk merasai sendiri aiskrim Sangkaya ini yang terletak di Jalan Alor, Bukit Bintang.
“Saya ke situ untuk cuba ais krim itu dan saya suka sangat rasa dan konsepnya. Kemudiannya saya berborak dengan John Isaac Ho dan Ivy Sangrida Kaya yang merupakan pengasas Sangkaya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai konsepnya,” kata Imran.
Akhirnya Imran bersama Nurin Hasanah Rahim Zain, 25, Ahmad Faris Jalil, 23, Nadiatul Liyana Zainuddin, 23, dan Mohd Hafiz Baharudin, 23, membuat keputusan untuk menjadi rakan kongsi Sangkaya SS15.

Sangkaya
Sangkaya ialah pencuci mulut ais krim kelapa yang boleh dinikmati dengan kacang soya merah, nestum, sos cokelat dan pelbagai lagi - Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Sangkaya SS15,Usahawan,Belia
Dari kiri Mohd Hafiz Baharudin, Nurin Hasanah Rahim Zain, Ahmad Faris Jalil, Nadiatul Liyana Zainuddin dan Imran Sheik bersama pengasasnya John Isaac - Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Sangkaya
Zulhelmi Zulkepli antara pekerja Sangkaya SS15 yang sentiasa bersedia untuk memberi layanan terbaik kepada pelanggan mereka - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Ditanya jika perniagaan Sangkaya ini mengganggu masa belajar mereka, Imran ada jawapannya: “Biasanya apa yang saya perhatikan pelajar mempunyai tiga masa - masa belajar, masa pelajar membuat sesuatu yang berguna dan masa main. Masa main macam tengok YouTube, tengok cerita atau sesuatu yang menghiburkan.“Pada pendapat saya kalau nak bahagikan masa untuk perkara seperti ini, kena kurangkan masa untuk bermain itu. Maksudnya kurangkan aktiviti yang tidak berfaedah, jadi seseorang pelajar itu akan perasan dia ada banyak masa sebenarnya.
"Tidak bermaksud yang kami tidak sibuk kerana kami juga pelajar. Kadang-kala kami mengulang kaji di kedai ini terutama apabila musim peperiksaan menjelang,” tambah Imran.
“Belia ada tenaga yang banyak, tapi kurang berpengalaman. Jadi bila buat bisnes, ia bukan seperti membuat assignment dalam kuliah.
“Sebab kalau assignment lambat, tidak mengapa, namun jika bisnes lambat, kita rugi duit. Jadi cabarannya, kami perlu timba banyak pengalaman contohnya dengan berhubung dengan golongan lebih dewasa,” tambah Imran.
“Kami bukannya pelajar yang asalnya mewah. Bila tengok ekonomi sekarang dan juga pendapatan, untuk berhibur itu semua ada, tapi bila kami dah berjaya nanti. Maksudnya lebih baik kumpul duit sekarang dan bila dewasa sikit kita boleh berbelanja. Jadi konsepnya usaha dulu sekarang,” kata Imran.
Bagi pelanggan yang hadir hari ini, mereka kebanyakannya terdiri daripada rakan-rakan sekuliah daripada Fakulti Undang-Undang UiTM, Shah Alam.
Antaranya ialah Mustabshira Fahmi, 23, pelajar tahun akhir bersama suaminya Aker Nadjmi, 23.
“Mereka daripada awal lagi menjemput kami datang, namun kami tidak berkelapangan. Bila tengok ramai upload gambar Sangkaya, kami pun datang untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan kami yang membuka cawangan bisnes ini,” kata Mustabshira.

SANGKAYA
Mustabshira Fahmi pelajar tahun akhir perundangan UiTM Shah Alam, bersama suaminya Aker Nadjmi, hadir upacara perasmian Sangkaya SS15 untuk memberi sokongan kepada rakan-rakan kuliahnya.Antaranya kakak kepada Nurinhasanah Ida Mariam, 37 , yang kini berkerja sebagai penasihat undang-undang.
“Mereka melakukan bisnes ini dengan perkongsian bersama-sama, saya tidak berapa risau kerana mereka boleh membantu sesama mereka. Lagipun, bisnes mereka ini tidak nampak seperti skala besar jadi mereka seperti mampu menguruskannya bersama-sama.”

sangkaya
Aiskrim kelapa Sangkaya ini juga digemari golongan kanak-kanak. - Astro AWANI / MARIAH AHMAD
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami