BISNES
Lima syarikat Singapura labur RM1.34 bilion di Johor melalui JS-SEZ - Onn Hafiz

Onn Hafiz berkata, dalam masa yang sama, tambahan minat pelaburan bernilai RM78 juta sedang dirundingkan dalam fasa kedua. - Bernama
JOHOR BAHRU: Johor berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM1.34 bilion daripada lima syarikat Singapura menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Beliau berkata dalam masa yang sama, tambahan minat pelaburan bernilai RM78 juta sedang dirundingkan dalam fasa kedua.
Pelaburan itu, katanya, direkodkan melalui Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J), yang ditubuhkan bagi menyelaras dan mempercepat proses pelaburan strategik di negeri itu.
"Sehingga kini, melalui IMFC-J, sebanyak 70 syarikat dari Singapura, China, Jerman, United Kingdom, Belanda serta pelabur tempatan telah menunjukkan minat melabur di Johor."Lima syarikat dari Singapura menyumbang nilai pelaburan sekitar RM1.34 bilion, dan tambahan minat berjumlah RM78 juta dalam fasa kedua," katanya menerusi kenyataan sempena lawatan rasminya ke Singapura sebagai penerima ke-82 Lee Kuan Yew Exchange Fellowship (LKYEF) hari ini.
Onn Hafiz berkata pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Gan Kim Yong, membuka ruang penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta merangka pelaksanaan menyeluruh JS-SEZ.
Beliau turut berkongsi perkembangan pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ, yang sedang dibangunkan dengan sokongan perunding lantikan Kerajaan Malaysia.
"Kami juga berbincang tentang cadangan-cadangan strategik seperti penubuhan Zon Perdagangan Bebas (FTZ) dalam kawasan JS-SEZ, kemudahan pergerakan barangan dan bakat rentas sempadan, serta cadangan membina laluan Sistem Transit Rapid (RTS) kedua di sebelah barat Johor.
"Lebih penting lagi, perbincangan turut menyentuh isu yang dekat di hati rakyat antaranya kos sara hidup, keperluan memperkukuh infrastruktur asas, serta mewujudkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan inklusif," katanya.
Beliau berkata Johor bersedia melaksanakan dasar-dasar progresif untuk memacu pertumbuhan, pada masa sama tetap komited memastikan setiap inisiatif memberi manfaat kepada rakyat.
"Saya percaya bahawa kerjasama strategik antara Johor, Malaysia dan Singapura ini mesti terus diperkasa demi menjayakan agenda pembangunan yang inklusif, adil dan lestari supaya tiada sesiapa pun yang tertinggal daripada arus kemajuan.
"Insya-Allah, Johor, Malaysia dan Singapura akan terus menjadi rakan serantau yang saling menguntungkan untuk masa depan yang lebih makmur," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami