Skip to main content
Advertisement

Bisnes

LITE 2026 himpun 31 pembeli global, bidik pasaran khas Langkawi

LADA LITE 26 -- credit: LADA
LITE 2026 anjuran LADA dengan sokongan Tourism Malaysia menerima 31 pembeli dan wakil industri pelancongan daripada 27 syarikat yang mewakili 14 pasaran global utama. - Foto LADA
Advertisement

LANGKAWI: Langkawi terus meneroka peluang dalam pasaran pelancongan tempahan khas yang semakin berkembang menerusi Langkawi International Tourism Engagement (LITE) 2026 dengan menghimpunkan pembeli dan pemain industri pelancongan antarabangsa bagi melihat potensi pengalaman peribadi yang ditawarkan destinasi itu.

Berlangsung dari 21 hingga 25 September, LITE 2026 menyediakan lima hari sesi interaksi perniagaan ke perniagaan (B2B), menghubungkan industri pelancongan Langkawi secara langsung dengan pembeli serta rakan kongsi antarabangsa.

Program anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan sokongan Tourism Malaysia itu tahun ini menerima 31 pembeli dan wakil industri pelancongan daripada 27 syarikat yang mewakili 14 pasaran global utama, termasuk Algeria, Rusia, Belgium, Perancis, Türkiye, Singapura, Indonesia, Pakistan, Itali, Kemboja, Sepanyol, Lao PDR, Sweden dan United Kingdom.

Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Seri Iskandar Datuk Mohd Kaus berkata, LITE diwujudkan sebagai platform yang menghubungkan industri pelancongan Langkawi secara langsung dengan pembeli dan rakan kongsi pelancongan antarabangsa, khususnya dalam memenuhi perubahan permintaan pelancong.

“LITE diwujudkan dengan satu aspirasi mudah, iaitu membentuk platform yang menghubungkan industri pelancongan Langkawi secara langsung dengan pembeli dan rakan kongsi pelancongan antarabangsa.

“Bagi pelancong masa kini yang semakin menitikberatkan pengalaman, pelancongan tempahan khas semakin berkisar tentang penemuan pengalaman yang bersifat peribadi dan bermakna dan LITE menyediakan peluang untuk meneroka bagaimana Langkawi dapat memenuhi keperluan yang semakin berkembang itu,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Image
LADA LITE 26 -- credit: LADA
LITE 2026 juga mengetengahkan pengalaman di Pulau Lagenda dengan pelbagai aktiviti menarik sekali gus memberi pendedahan keunikan Langkawi kepada peserta. - Foto LADA

Edisi tahun ini membawa empat tema utama iaitu “Feel Wonder”, “Feel Indulgence”, “Feel Connection” dan “Feel Possibility” yang mengetengahkan Langkawi melangkaui imej pantai dan pemandangan ikonik kepada destinasi yang menggabungkan landskap purba, hospitaliti, karakter tempatan serta pengalaman tersendiri.

Sepanjang program, peserta berpeluang meneroka sisi semula jadi dan mewah Langkawi, termasuk Langkawi SkyCab dan laluan air hutan paya bakau Kilim Karst Geoforest, selain pengalaman menunggang kuda bersama Island Horses Langkawi.

Pengalaman itu turut dilengkapi penginapan, lawatan pemeriksaan serta sesi menjamu selera di beberapa pusat peranginan terkemuka, termasuk The Westin Langkawi Resort & Spa, The Danna Langkawi, The St. Regis Langkawi dan Berjaya Resort Langkawi.

Menerusi LITE 2026, Langkawi membuka ruang kepada rakan kongsi perdagangan global untuk meneroka peluang kerjasama dan membentuk hala tuju baharu pelancongan tempahan khas yang berteraskan keunikan alam semula jadi, pengalaman premium serta karakter tempatan.

Di bawah jenama “Naturally Langkawi”, kepulauan itu mempunyai sejarah semula jadi berusia 550 juta tahun dan merangkumi 99 pulau, selain kaya dengan legenda, mitos serta cerita rakyat yang membentuk identiti dan pengalaman tersendiri destinasi berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement