Skip to main content

Dunia

Masyarakat antarabangsa perlu ambil tindakan perundangan terhadap Israel - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid menegaskan, tekanan terhadap Israel tidak boleh sekadar melalui cadangan resolusi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih konkrit. - Facebook Zahid Hamidi
Ahmad Zahid menegaskan, tekanan terhadap Israel tidak boleh sekadar melalui cadangan resolusi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih konkrit. - Facebook Zahid Hamidi
Advertisement

ISTANBUL: Masyarakat antarabangsa perlu mengambil tindakan perundangan terhadap Israel bagi menghentikan tindakan kejam ketenteraannya di Gaza, Tebing Barat, Selatan Lubnan dan Syria, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata tekanan terhadap Israel tidak boleh sekadar melalui cadangan resolusi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih konkrit bagi memastikannya menghormati dan mematuhi gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini.

“Walaupun berlaku pertukaran kepimpinan di Israel selepas pilihan raya yang lepas, kita dapati bahawa dari segi dasar (gencatan senjata) mungkin tidak akan berubah. 

Advertisement

“Penglibatan masyarakat antarabangsa amat diperlukan untuk meningkatkan tekanan terhadap Israel, termasuk melalui tindakan perundangan dan langkah lain, khususnya dalam kalangan negara-negara yang berjiran dengan negara itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia, selepas sesi perbincangan meja bulat bersama dengan Foundation for Political, Economic and Social Research (SETA), di sini.

Advertisement

Delegasi SETA yang terdiri daripada lapan orang itu diketuai Ketua Penyelarasnya Prof Nebi Mis, Pengarah Kajian Dasar Luar SETA Prof Murat Yesiltas serta Pengarah Penerbitan Ebrar Uzumcu.

Terdahulu, Ahmad Zahid berkata pada perbincangan itu, beliau turut menyentuh mengenai perancangan UMNO untuk menjalinkan kerjasama penyelidikan dengan SETA, menerusi Abdullah Badawi Research Institute (ABRI) yang dalam perancangan penubuhannya, bagi memperkukuh perkongsian pengetahuan antara Malaysia dan Turkiye.

Beliau berkata kerjasama itu, berpotensi melibatkan pertukaran bahan penyelidikan yang dihasilkan kedua-dua institusi, termasuk SETA yang turut mempunyai kerjasama dengan Institute of Strategic and International Studies (ISIS), Malaysia.

Ahmad Zahid  yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkongsian kepakaran dan hasil penyelidikan itu, diharap dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam memahami perkembangan geopolitik serta sosioekonomi pada peringkat serantau dan global.

SETA merupakan badan pemikir bebas dan tidak berasaskan keuntungan yang menjalankan penyelidikan mengenai isu politik, ekonomi dan sosial di Turkiye serta peringkat global, merangkumi bidang dasar luar, keselamatan, ekonomi, masyarakat, tenaga dan teknologi.

Sesi perbincangan berkenaan merupakan antara pengisian lawatan empat hari Ahmad Zahid ke Turkiye dari 5 hingga 8 Nov, bersempena dengan TRT World Forum 2026 di Istanbul Congress Centre (ICC) yang berlangsung selama dua hari, bermula semalam.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement