KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research menaikkan unjuran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,622 mata daripada 1,612 mata berikutan kenaikan mendadak harga minyak sawit mentah (MSM).

Ia turut mencerminkan semakan pendapatan selepas musim laporan kewangan suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, menurutnya dalam nota kajian pada Khamis.

Firma itu menjangkakan hasil pada suku pertama 2022 akan dipacu dengan lonjakan harga komoditi (minyak mentah dan sawit) disebabkan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan, perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi akibat permintaan terpendam, serta sambutan Tahun Baharu Cina.

Nisbah semakan hasilnya (% syarikat yang melaporkan pendapatan melebihi jangkaan berbanding % syarikat yang melaporkan pendapatan di bawah jangkaan) meningkat daripada 0.93x pada suku ketiga 2021 kepada 1.7x pada suku keempat 2021.

"Berdasarkan semakan hasil terkini ini, kami kini menganggarkan untung bersih teras KLCI akan susut 2.4% pada tahun kewangan 2022 (FY22) sebelum kembali berkembang pada 9.2% FY23 (unjuran sebelum ini -4.9% dan 10.8%).

"Tidak termasuk konstituen bank dalam KLCI, kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sesaham (EPS) bagi 2022 dan 2023 masing-masing pada -6.7% dan 3.5%," jelasnya.

Bagi prestasi suku keempat itu, CGS-CIMB mendapati nisbah syarikat yang melaporkan prestasi mengatasi jangkaan meningkat kepada 40% berbanding 31% pada suku ketiga, manakala yang berprestasi rendah menurun kepada 23% (berbanding 33% pada suku ketiga).

Antara faktor penting pada suku keempat itu termasuklah hasil positif daripada sektor agribisnes dan perbankan manakala sektor media, perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) serta minyak dan gas (O&G) merekodkan prestasi yang lemah daripada jangkaan.

Pada suku berkenaan, keuntungan bersih teras meningkat 17% berasaskan suku ke suku disebabkan kerugian yang lebih rendah daripada Sapura Energy Bhd dan Capital A Bhd, serta hasil lebih tinggi menerusi Kumpulan Genting, pemain sektor automotif dan minyak sawit.

Firma itu menambah Petronas Chemical Group Bhd. dan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) sebagai pilihan saham utama di samping Hong Leong Bank Bhd.

Ia memberi saranan 'tambah' kepada ketiga-tiga saham syarikat berkenaan dengan harga sasaran masing-masing pada RM10.76, RM7.05 dan RM21.80.

"Kami turut menjangkakan KLCI akan kekal dalam julat, berikutan pasaran membuat pertimbangan positif daripada harga komoditi yang mencatat rekod tinggi dan saham pemulihan daripada pembukaan semula sempadan terhadap potensi tekanan jangka pendek dalam margin keuntungan korporat akibat kenaikan elektrik, bahan mentah, kos buruh dan kenaikan kadar faedah," jelasnya. -DagangNews.com