BUSINESS
MAG catat untung bersih RM54 juta, pencapaian positif tiga tahun berturut-turut

Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan keuntungan bersih selepas faedah dan cukai (NIAT) sebanyak RM54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mencatatkan keuntungan bersih selepas faedah dan cukai (NIAT) sebanyak RM54 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Ia sekali gus menandakan tahun ketiga berturut-turut syarikat penerbangan nasional itu merekodkan keuntungan operasi positif sebanyak RM113 juta.
Prestasi itu disokong oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh sebanyak RM788 juta.
Bagaimanapun, keuntungan bersih sebanyak RM54 juta menunjukkan penurunan berbanding RM766 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.Menurut Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, MAG tetap mencatatkan prestasi positif walaupun menghadapi pengurangan kapasiti sebanyak 18 peratus dalam rangkaiannya pada suku keempat 2024.
Pengurangan tersebut, kata beliau, melibatkan sejumlah 6,388 penerbangan dan menjejaskan satu juta pelanggan.
"Kumpulan mengekalkan baki tunai yang kukuh sebanyak RM3.0 bilion setakat 31 Disember 2024, tanpa sebarang suntikan modal daripada pemegang saham utamanya, Khazanah Nasional Berhad, sejak Oktober 2021.
"Pengurangan kapasiti ini disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan yang memanjangkan tempoh penyelenggaraan dan kelewatan penghantaran pesawat baharu, dilaksanakan semasa suku yang biasanya kuat, memberi kesan kepada hasil tahunan kumpulan yang berjumlah RM13.679 bilion.
"Ia penurunan marginal sebanyak satu peratus berbanding tahun sebelumnya, walaupun terdapat peningkatan enam peratus dalam kapasiti kilometer tempat duduk tersedia (ASK).
"Namun, trafik penumpang kekal kukuh dalam segmen premium dengan faktor muatan yang lebih tinggi untuk kedua-dua segmen penumpang dan kargo," katanya dalam sidang media berhubung prestasi kewangan MAG di sini pada Khamis.
Selain itu, beliau berkata, keuntungan bersih kumpulan turut disokong oleh pembalikan susut nilai ke atas aset hak Guna, pesawat, harta, loji dan peralatan serta aset tidak ketara berjumlah RM426 juta.
Susut nilai tersebut disebabkan pandemik COVID-19 pada 2020, namun telah dibalikkan berikutan peningkatan dalam kapasiti, hasil, faktor muatan, serta hasil purata tempat duduk yang dicapai sepanjang tahun kewangan 2023 dan 2024
Kumpulan juga memperluaskan rangkaian antarabangsa melalui laluan baharu dan kerjasama strategik yang mendalam, menurutnya lagi.
"Esok, kami akan menyambut ketibaan pesawat Airbus A330neo ketiga dan tujuh lagi dijangka menyertai armada tahun ini.
"Kami juga sedang terus menilai keperluan armada pesawat berbadan lebar kami, sejajar dengan perkembangan pasaran dan meneroka semua pilihan yang tersedia bagi memastikan kami berada dalam kedudukan terbaik untuk pertumbuhan masa depan," kata beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami