KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Research menjangkakan pengeluar tepung termasuk Malayan Flour Mills Berhad akan menaikkan harga jualan produk mereka sebagai usaha mengurangkan kesan kenaikan harga gandum.

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan pendapatan daripada jualan tepung adalah mencukupi untuk menampung kerugian yang dialami dalam bidang penternakan ayam dan itik.

Katanya, segmen berkenaan dijangka terus mengalami kerugian pada FY22F akibat kenaikan harga makanan untuk haiwan ternakan.

Harga siling bagi ayam ditetapkan pada RM8.90 sekilogram manakala RM6.50 untuk ayam hidup dan mengikut laporan Bloomberg, purata harga kacang soya Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 35% kepada AS$15.61 (RM66.95)  bagi setiap gantang pada 1QFY22 berbanding AS$11.56 (RM49.58) pada 1QFY21.

Harga purata jagung AS meningkat sebanyak 42.8% kepada AS$6.71 (RM28.78) untuk satu gantang pada 1QFY22 berbanding AS$4.70 (RM20.16) pada 1QFY21.

"Kami percaya pendapatan Malayan Flour akan terus disumbangkan oleh penjualan tepung pada FY22F.

"Kami juga percaya bahagian penternakan Malayan Flour akan lebih banyak menjual bahagian-bahagian ayam kerana ia tidak tertakluk kepada harga siling yang ditetapkan.

"Buat masa sekarang, pusat pemprosesan ayam mereka di Lumut beroperasi pada kadar 50% ke 60% berbanding 50%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Firma penyelidikan itu berkata, industri penternakan sedang dalam fasa pemulihan selepas permintaan terus meningkat daripada sektor hotel, restoran, kafe (HORECA).

Bagaimanapun berlaku kekurangan bekalan sebanyak 30% akibat kekurangan tenaga pekerja, pemberhentian petani kontrak akibat kenaikan kos pengeluaran dan penyakit yang menyerang haiwan ternakan di wilayah selatan Malaysia.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' untuk saham Malayan Flour Mills dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.00," katanya. - DagangNews.com