Menurutnya, banyak Syarikat dari AS yang beroperasi di seluruh dunia termasuk di Malaysia menjadikan negara ini sebagai hab pengeluaran dan pengeksportan komponen separa siap (intermediate goods), sebelum produk akhir disempurnakan di AS.
Beliau menegaskan, sumbangan Malaysia kepada rantaian bekalan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi negara, malah turut menyokong operasi dan pertumbuhan syarikat-syarikat di AS.
“Jika kita lihat, Malaysia dan AS adalah satu gandingan yang baik dari segi pelaburan dan perdagangan. Dalam rantaian bekalan global, terutama sektor E&E dan semikonduktor, kita memainkan peranan penting. Malaysia bukan pesaing kepada AS, sebaliknya saling melengkapi.
“Kami ingin meyakinkan pihak AS bahawa kerjasama ini membawa keuntungan bersama. Apa yang memberi manfaat kepada Malaysia, turut memberi manfaat kepada AS,” katanya.
Tengku Zafrul yang mengetuai delegasi Malaysia kini berada di Washington D.C bagi mengadakan pertemuan bersama Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR, Jamieson Greer serta beberapa pihak berkepentingan dan pemain industri untuk membincangkan isu tarif balas yang dikenakan terhadap Malaysia.
Mengulas mengenai tempoh penangguhan tarif selama 90 hari yang sedang berjalan, Tengku Zafrul mengakui ia adalah satu jangka masa yang singkat memandangkan banyak negara turut terkesan dan AS perlu berunding dengan kesemuanya dalam waktu yang sama.
Tambahnya lagi, pertemuan dua hari ini bukan bertujuan untuk memuktamadkan sebarang perjanjian, sebaliknya merupakan permulaan kepada rundingan yang lebih mendalam antara kedua-dua negara.
“Ya, 90 hari itu tempoh yang tidak panjang. Pada masa yang sama, banyak negara lain juga terkesan. Jadi, AS perlu berunding dengan begitu banyak pihak, termasuk Malaysia, dalam tempoh yang begitu singkat. Kita datang lebih awal ke sini untuk memberi keyakinan kepada AS bahawa kita bersedia untuk terlibat dalam proses ini.
“Dalam pertemuan saya dua, tiga hari ini, kita tidak akan dapat memuktamadkan apa-apa perjanjian. Ini adalah titik permulaan. Kita datang bersama pasukan dari Malaysia yang akan membuat rundingan dengan pihak AS. Harapan kita ialah supaya industri dan pengeksport kita tidak terkesan dengan tarif yang tinggi.
“Saya percaya, dengan kolaborasi yang telah terjalin selama lebih 50 tahun antara Malaysia dan AS, kita dapat meyakinkan bahawa hubungan pelaburan dan perdagangan dua hala ini adalah satu situasi menang-menang (win-win) untuk kedua-dua negara,” ujarnya lagi.
