BISNES
Malaysia catat RM11.2 bilion potensi pelaburan di Expo Dunia 2025 Osaka

Pavilion Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima lebih 2.2 juta pelawat setakat minggu lalu, jauh melepasi sasaran asal 1.5 juta pelawat.
OSAKA: Pavilion Malaysia di Expo Dunia 2025 Osaka sekali lagi membuktikan keupayaannya sebagai pemangkin pelaburan apabila berjaya mencatat RM11.2 bilion dalam potensi pelaburan dan perdagangan setakat ini.
Ia telah menghampiri sasaran keseluruhan RM13 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata angka tersebut merupakan hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi pelaburan negara seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), serta penyertaan aktif setiap kerajaan negeri termasuk negeri Sarawak yang mengetuai pengisian Pavilion Malaysia minggu ini.
“Setakat ini, kita telah capai RM11.2 bilion daripada sasaran RM13 bilion. Hopefully we can meet the target. Not too far away,” katanya kepada media Malaysia di Pavilion Malaysia.Pelaburan itu melibatkan sektor strategik berimpak tinggi termasuk teknologi hijau, industri halal, tenaga boleh diperbaharui, bioekonomi, dan ekonomi digital.
Kesemua sektor itu selaras dengan hala tuju negara ke arah pembangunan mampan, transformasi digital dan pemerkasaan ekonomi masa hadapan.
Tambah beliau, beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai di Pavilion Malaysia setakat ini, namun pecahan pelaburan mengikut syarikat dan sektor masih menunggu pengesahan daripada MIDA dan kerajaan negeri.
“Mereka sudah beri nama syarikat, tapi belum ada pecahan sektor. Namun yang pasti, ia melibatkan bidang berteknologi tinggi dan bernilai tambah,” ujarnya.
Selain itu, dari segi sambutan pengunjung, Pavilion Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan apabila menerima lebih 2.2 juta pelawat setakat minggu lalu, jauh melepasi sasaran asal 1.5 juta pelawat.
Antara tarikan utama yang ditawarkan adalah demonstrasi ‘roti canai terbang’, persembahan tarian tradisional, serta paparan budaya dan warisan tempatan.
Menurut Tengku Zafrul, kira-kira 1,500 keping roti canai dijual setiap hari, pada harga mencecah RM50 sekeping, menandakan populariti produk Malaysia di pentas antarabangsa.
Pada masa sama, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa kerajaan telah menerima jemputan awal daripada Kerajaan Arab Saudi untuk menyertai Expo Dunia 2030 di Riyadh.
“Kami baru sahaja mengadakan pertemuan di Pavilion Arab Saudi. Mereka membentangkan perancangan untuk World Expo 2030.
“Jemputan rasmi akan dihantar tidak lama lagi dan apabila diterima, kita akan bawa ke Kabinet untuk pertimbangan,” katanya.
Seramai 25 syarikat Malaysia telahpun mula meneroka peluang penyertaan dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan berkaitan Expo 2030, tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami