Skip to main content

Bisnes

Malaysia catat sejarah sebagai tuan rumah ICOPA 2030

 MyCEB, ICOPA
ICOPA 2030 bakal berlangsung pada 18 hingga 23 Ogos 2030 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak. - Foto MyCEB
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia berjaya memperoleh hak penganjuran International Congress on Parasitology (ICOPA) 2030, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi persidangan saintifik antarabangsa dan acara perniagaan bertaraf global.

Usaha mendapatkan ICOPA 2030 dimulakan oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) pada 2021 menerusi kerjasama Malaysian Society of Parasitology and Tropical Medicine (MSPTM), MyCEB dan Business Events Sarawak.

Bakal berlangsung pada 18 hingga 23 Ogos 2030 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak, ICOPA 2030 mencatat sejarah sebagai penganjuran sulung kongres berkenaan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Kongres yang diadakan setiap empat tahun itu dijangka menghimpunkan kira-kira 2,500 delegasi daripada komuniti parasitologi dan perubatan tropika seluruh dunia, sekali gus menyumbang kepada peningkatan ketibaan pelawat antarabangsa serta manfaat ekonomi lebih luas kepada Kuching, Sarawak dan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, berkata kejayaan itu mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan Malaysia menganjurkan persidangan saintifik bertaraf dunia.

“Mendapatkan ICOPA 2030 merupakan satu pencapaian penting bagi Malaysia dan mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan kita untuk menganjurkan persidangan saintifik global yang besar.

“Perjalanan ini bermula apabila MyCEB memulakan bidaan pada 2021, dan kejayaan hari ini membuktikan apa yang boleh dicapai melalui kerjasama erat antara persatuan kebangsaan kita, rakan destinasi dan industri Acara Perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Image
 MyCEB, ICOPA
Kira-kira 2,500 delegasi dari seluruh dunia dinantikan hadir pada ICOPA 2030 di Kuching. - Foto MyCEB

Beliau berkata, penganjuran ICOPA 2030 turut membuka ruang kepada pertukaran ilmu, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pembangunan profesional.

“Membawa ICOPA ke Malaysia dan Asia Tenggara buat kali pertama bukan sahaja satu pencapaian penting bagi industri Acara Perniagaan kita, malah satu peluang untuk mewujudkan impak bermakna melalui pertukaran ilmu, kerjasama penyelidikan antarabangsa dan pembangunan profesional.

“Kami menantikan kehadiran kira-kira 2,500 delegasi dari seluruh dunia ke Kuching pada 2030,” ujarnya.

MyCEB turut mengiktiraf kerjasama MSPTM, Business Events Sarawak serta semua rakan kongsi dan pihak berkepentingan yang menyumbang kepada kejayaan bidaan itu.

Penganjuran ICOPA 2030 dijangka memberi manfaat bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi turut memperkukuh jaringan profesional, kolaborasi penyelidikan serta komuniti saintifik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Must Watch Video

Advertisement