KUALA LUMPUR: Malaysia komited menggandakan kemajuan industri semikonduktor untuk meraih pertumbuhan dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat ketika ini.

Menerusi temu bual eksklusif di CNBC pada Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menegaskan bahawa pembuat EV memperoleh komponen dari Malaysia dengan jumlah berbilion ringgit.

"Mereka mahu menjajarkan semula rantaian bekalan untuk memastikan keselamatan rantaian bekalan mereka, daya tahan rantaian bekalan sedia ada, jadi mereka semakin dekat dengan Malaysia dan kami menjemput ramai pembuat EV untuk datang,” katanya dalam temu bual itu.

Ujar beliau, matlamat utama adalah untuk pembuat EV mengembangkan kehadiran mereka di negara ini, dengan mengambil contoh Tesla yang telah menjadi salah satu penyedia stesen pengecasan utama Malaysia.

Beberapa syarikat terbesar Malaysia juga merupakan pembekal kepada Tesla.

"Sasarannya adalah untuk mereka menjadi seperti Tesla dan yang lain membina kilang pemasangan berskala besar di negara ini," ujarnya.

Pada Ogos lalu, Tesla menubuhkan ibu pejabat serantau di Malaysia, di mana EV menjadi salah satu keutamaan negara.

Tengku Zafrul pada Disember lalu menyatakan bahawa beliau percaya EV akan memangkin pertumbuhan eksport industri pembuatan Malaysia, dan negara ini kekal sebagai destinasi menarik bagi pelabur kereta elektrik.

Beliau menegaskan bahawa semikonduktor adalah komponen penting dalam pembuatan kereta, terutama dalam EV.

Sebuah kereta biasa mengandungi kira-kira 5,000 cip, tetapi EV memerlukan sehingga 15,000 cip, katanya.

“Jadi, Malaysia ada dalam rantaian bekalan itu dan kami mahu memanfaatkannya,” tambahnya.

Untuk itu, Malaysia telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Strategik Semikonduktor Negara (NSSTF), untuk membolehkan negara meningkatkan rantaian nilai dalam industri cip kenderaan.