KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjalan mengikut jadual dan sudah mencapai 62 peratus setakat Februari 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, apa yang perlu difokuskan ketika ini adalah memastikan lokasi bagi setiap hentian laluan akan mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat.

‘’Kita dah ada perancangan untuk ECRL dan setakat ini ia berjalan mengikut jadual dan kini sudah mencapai 62 peratus.

‘’Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan setiap Transit Oriented Development (TOD) akan mampu memberi manfaat kepada komuniti khususnya di Kelantan, Terengganu dan Pahang kerana salah satu objektifnya adalah mengurangkan jurang ekonomi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di seminar mengenai peluang pelaburan dan perniagaan projek pemecut ekonomi (EAP) - ECRL di ibu negara, pada Jumaat.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata ECRL bersedia meningkatkan tahap ekonomi Malaysia, menghubungkan negara lebih rapat dengan rangkaian kereta api Pan-Asia dan meningkatkan perhubungan dengan wilayah ASEAN dan EURASIA.

Tambahnya, dengan jarak 665 kilometer dan menghubungkan pantai timur dan barat negara, ECRL juga merupakan elemen penyepaduan penting Malaysia ke dalam rangkaian perdagangan dan budaya yang lebih luas pertukaran.

"Projek ECRL bernilai memakan jumlah yang besar iaitu hampir RM75 bilion, adalah lebih daripada hanya sebuah rangkaian kereta api yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Ia adalah asas untuk pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.

"Dengan meningkatkan perdagangan, pelancongan, dan merangsang pembangunan wilayah, ECRL dijangka menyumbang 3.8 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2047," ujarnya.