BISNES
Malaysia komited majukan kerangka rantaian bekalan semikonduktor ASEAN - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, ASEAN berada di kedudukan penting bukan sahaja kerana memiliki kapasiti, tetapi juga pendekatan strategik berkecuali, untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor terkemuka dunia. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia, menerusi platform seperti Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) 2025 komited untuk memajukan Rangka Kerja ASEAN bagi Rantaian Bekalan Semikonduktor Bersepadu dan mengukuhkan peranan rantau ini dalam memastikan keterjaminan teknologi global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata dengan peningkatan bilangan industri yang memerlukan semikonduktor sebagai komponen utama, ASEAN berada di kedudukan penting bukan sahaja kerana memiliki kapasiti, tetapi juga pendekatan strategik berkecuali, untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai hab semikonduktor terkemuka dunia.
"Saya yakin ASEMIS 2025 akan membantu mengukuhkan kerjasama antara sektor awam dan swasta yang seterusnya memperkukuh momentum pertumbuhan industri semikonduktor yang sudahpun mantap di seluruh rantau ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ASEMIS yang julung kalinya diadakan dianjurkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA).Sidang kemuncak sehari yang bertemakan "Membentuk Masa Depan Industri Semikonduktor ASEAN" itu diadakan bertujuan untuk meletakkan ASEAN sebagai hab global utama bagi pembuatan semikonduktor, keterjaminan teknologi dan inovasi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan ucaptama pada sidang kemuncak itu, yang akan menghimpunkan sejumlah 500 peserta terdiri daripada penggubal dasar, penganalisis industri, ahli ekonomi, wakil dana negara dan pemimpin industri dari seluruh ASEAN dan Asia.
Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sidang kemuncak itu akan memberi peluang kepada para delegasi bertemu dengan penggubal keputusan dan pemimpin industri yang akan membantu mereka memangkin pertumbuhan perniagaan melalui usaha sama untuk memacu daya saing serantau ASEAN.
"Kami berbesar hati bekerjasama dengan MITI menganjurkan ASEMIS 2025 untuk membantu pihak berkepentingan menjalin rangkaian, mendapatkan pandangan strategik serta mengatur masa depan industri semikonduktor di ASEAN," katanya.
Antara ahli panel termasuk pemimpin persatuan industri dari Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam yang akan membincangkan kerjasama awam-swasta dan dorongan untuk kerjasama serantau yang lebih meluas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami