KUALA LUMPUR: Malaysia akan dapat mengekalkan daya saingnya sebagai destinasi pelaburan langsung asing (FDI) yang menarik di rantau ini melalui dasar cukai yang lebih baik termasuk peraturan mesra alam untuk semua pelabur, kata seorang pakar ekonomi.

Profesor Ekonomi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Prof Dr Geoffrey Williams berkata, dasar cukai yang lebih baik akan menjadikan persekitaran lebih mudah untuk menjalankan perniagaan dan secara tidak langsung akan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk menyediakan pelbagai aset dan mengekalkan mereka di Malaysia.

"Kita sering bercakap mengenai kelulusan pelaburan dan melihat bahawa kelulusan pelaburan telah meningkat...itu adalah perkara yang baik. Ia menunjukkan bahawa Malaysia mampu menarik minat pelabur antarabangsa dan ia juga merupakan petunjuk positif," katanya pada "RAM Forum: Emerging Risks - How can Malaysia Steer Ahead?" (Forum RAM: Risiko Muncul - Bagaimana Malaysia Mengemudi ke Hadapan?) anjuran RAM Rating Services Bhd, hari ini.

Walaupun terdapat keperluan untuk mengawal aliran kewangan antarabangsa atas sebab keselamatan, sesebuah negara memerlukan peraturan minimum untuk menarik lebih ramai pelabur di seluruh dunia, katanya.

Williams berkata, kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk menggalakkan syarikat sektor swasta memainkan peranan yang lebih besar untuk mengembangkan pembangunan perindustrian negara dengan pantas.

Selain daripada syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, beliau berkata persekitaran pembangunan industri akan menjadi lebih tangkas dan berdaya saing dengan penglibatan sektor swasta.

Malaysia mencatatkan RM132.6 bilion dalam pelaburan atau kira-kira 60 peratus daripada sasaran pelaburan negara, pada separuh pertama tahun ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, aliran masuk bersih FDI Malaysia berjumlah RM74.6 bilion pada 2022 berbanding RM50.4 bilion pada 2021. - BERNAMA