KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menangani cabaran membangunkan barisan tenaga kerja yang tepat, terutama profesion kejuruteraan dalam usaha menjayakan agenda pelan ekonomi kerajaan seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS).

Ketika menegaskan perkara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tanpa modal insan serta pengurusan bakat yang tepat, adalah sukar bagi negara untuk merealisasikan impian dan aspirasi menjadi sebuah negara perindustrian.

Beliau berkata bersandarkan senario geopolitik semasa, Malaysia muncul sebagai destinasi menarik yang menyaksikan penumpuan industri-industri manakala syarikat pula melakukan penjajaran semula serta menyusun kembali rantaian bekalan masing-masing.

"Malaysia juga terbabit dalam 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA) iaitu dua dan pelbagai hala. Malah, dalam FTA itu, aspek bakat menjadi tumpuan kerana kita mahukan kesan limpahan ekonomi itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi panel program 'Integrasi Strategik Perdagangan, Pengurusan Bakat dan Dasar Industri : Memacu Pertumbuhan Ekonomi Menerusi Pembangunan Modal Insan' bagi program 'Menteri-Menteri yang Memimpin : Mewujudkan Ekonomi Dipacu Bakat - Dasar dan Amalan Kerajaan' di sini, pada Khamis.

Bercakap kepada media kemudiannya, Tengku Zafrul berkata kerajaan perlu tangkas dan dinamik dalam menggunakan pendekatan kerajaan secara menyeluruh yang melibatkan semua kementerian berkaitan dalam sesi libat urus bersama pihak industri.

"Menerusi pendekatan ini, saya optimistik negara mampu mempercepat usaha melatih dan melahirkan jurutera-jurutera yang diperlukan," katanya.

Walaupun Malaysia tidak menghasilkan jumlah jurutera yang diperlukan, Tengku Zafrul berkata terdapat peningkatan dari segi bilangan kemasukan sebagaimana mengikut Kementerian Pengajian Tinggi.

"Sekurang-kurangnya ini ke arah yang tepat. Tiada sebarang penyelesaian segera bagi perkara ini," katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan kepentingan untuk mengubah pandangan lama mengenai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) terutama kepada ibu bapa, keluarga dan penjaga selain menekankan bahawa TVET adalah sama pentingnya dalam platform akademik.

"Namun, bagi saya, keadaan ini beransur-ansur berubah. Di negara-negara maju misalnya, TVET merupakan aliran penting ke arah perindustrian, contohnya di Jerman serta banyak negara lain.

"Kita perlu meluaskan lagi asas atau saluran bakat ini yang harus dimulakan di peringkat sekolah rendah. Kita juga perlu membangunkan perancangan mantap membabitkan tenaga kerja industri yang bersedia menerimaguna inovasi dalam teknologi penting," katanya.

Dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, Malaysia menyasarkan sebanyak 60,000 bakat berasaskan teknologi/kejuruteraan mahir dalam usaha menarik pelaburan berkualiti tinggi yang menawarkan pekerjaan bergaji lebih tinggi.

-- BERNAMA