LONDON: Masih ada ruang untuk kerajaan memperluas pegangan dalam industri halal global yang ketika ini mencecah nilai hampir AS$230 trilion, biarpun pembabitan negara sudah bermula sejak awal 80-an lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia berkata, kerajaan merasakan usaha bersama antara kementerian dan agensi berkaitan mesti dilakukan bagi meningkatkan lagi usaha mempromosi produk halal Malaysia.

Ahmad Zahid berkata, ketika ini usaha yang dilakukan masih belum cukup kuat untuk menembusi pasaran United Kingdom dan Eropah, dan beliau merasakan Kerajaan Madani perlu meningkatkan pelaburan dari segi pemasaran, disusuli dengan bantuan proaktif dari institusi kewangan.

“Pada saya, potensinya cukup besar, usaha bukan sahaja daripada kerajaan dan swasta, malah daripada rangkaian pemasaran yang ada, terutamanya rakyat Malaysia yang menjadi usahawan dan menjadi pengusaha pasaran di Eropah dan juga peringkat antarabangsa.

“Pada saya Kerajaan Madani di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh melakukannya, bukan sekadar hanya memberi pembiayaan tetapi promosi mesti dilakukan dan pihak kerajaan mesti melabur dari segi pemasaran, apatah lagi institusi kewangan malaysia mesti proaktif untuk bantu usahawan ini,” katanya lagi.

Ahmad Zahid berkata, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) harus diberikan peruntukan lebih besar daripada segi pengiklanan, bagi meningkatkan daya pemasaran, dan malawakil mesti diberi peluang lebih besar untuk mempromosi produk dan perkhidmatan daripada Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia selepas melakukan lawatan ke Pasar Raya Chuang Lee, syarikat pemborong makanan, minuman dan tembakau dari Malaysia dan Thailand, di sini, pada Khamis.

Pasar raya diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jimmy Chua memulakan operasi di negara itu sejak 1980-an, dengan sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada produk dari Malaysia dan Thailand.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini tiba di London bagi menyempurnakan pembukaan World Halal Business Conference Circuit 2023, anjuran bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Halal Development Corporation (HDC), yang bakal berlangsung selama dua hari bermula 27 Oktober ini.

Sebelum ini, Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun berkata, Malaysia mempunyai potensi yang cukup luas dalam industri yang dianggarkan bernilai AS$3 trilion itu, namun nilai eksport produk halal yang dicapai negara pada 2022 hanya sekitar RM60 bilion (AS$12.5 bilion).

Mengulas mengenai cabaran terhadap kemasukan produk Malaysia, beliau berkata, faktor utama disebabkan piawaian serta regulasi negara pengimport.

"Kita tidak boleh memilih dan kita mesti mengikuti piawaian ditetapkan dan standard ini terpakai kepada semua negara lain.

"Kita mesti bersifat kompetitif supaya produk kita dapat dipasarkan dan saya fikir bagi tempoh 30 atau 40 tahun (sejak produk Malaysia memasuki pasaran luar negara), ini terlalu lama untuk kita cuma memperoleh sedikit peratusan daripada pasaran besar yang ada di sini," katanya.

Sementara itu, Jimmy memberitahu media, pasar rayanya mengimport produk Malaysia bernilai kira-kira RM5 juta setahun dan merancang untuk menambah jumlah import terbabit dalam tempoh terdekat.

Katanya, buat masa ini, pasar rayanya mengimport 15 peratus produk dari Malaysia dengan bakinya dari Thailand, Vietnam, Korea Selatan dan China.

"Kita masih memerlukan bantuan dalam soal pemasaran. Biarpun kita boleh membantu membawa masuk produk berkenaan, tanpa bantuan pemasaran yang baik, produk terbabit tidak akan terjual.

"Saya berharap kerajaan dapat membantu melaksanakan projek untuk membawa masuk lebih banyak produk Malaysia bersama perancangan promosi serta pemasaran," katanya lagi.