TOKYO: Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun yang bermula hari ini dijangka mengangkat hubungan akrab dua negara ke tahap yang lebih tinggi dengan tumpuan jelas kepada kerjasama ekonomi dan pelaburan strategik.
Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata, jemputan rasmi itu mencerminkan penghormatan tinggi kerajaan Jepun terhadap kepimpinan Malaysia, khususnya selepas negara memainkan peranan aktif dan berkesan di peringkat serantau termasuk dalam konteks kerjasama ASEAN pada tahun lalu.
“Lawatan rasmi ini merupakan satu tanda penghormatan kepada beliau oleh Kerajaan Jepun, selain mencerminkan hubungan erat yang terus diperkukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata, lawatan tiga hari bermula 8 hingga 10 Jun ini juga menjadi platform penting untuk memperluas kerjasama dua hala merangkumi pelbagai sektor strategik.
“Lawatan ini menyediakan peluang strategik untuk Malaysia meneroka kerjasama dalam bidang ekonomi, sains dan teknologi serta bina upaya, bagi memastikan negara kekal kompetitif di peringkat antarabangsa,” jelasnya.
Sepanjang berada di Tokyo, Perdana Menteri dijadual menyertai pelbagai program utama termasuk menghadiri majlis sambutan rasmi, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, serta sidang media bersama.
Beliau juga akan mengadakan mesyuarat secara langsung dengan enam syarikat Jepun serta menyertai sesi meja bulat bersama 29 tokoh perniagaan dan ketua industri bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Malaysia.
Selain itu, lawatan ini juga bakal menyaksikan pemeteraian empat Memorandum Kerjasama dan dua Surat Hasrat melibatkan bidang strategik termasuk pertahanan dan keselamatan, kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar serta pendidikan tinggi.
Delegasi lawatan turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong. Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menyertai lawatan berkenaan.
Lawatan rasmi ini dijangka membuka ruang baharu dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik penting Jepun di rantau Asia, selain meningkatkan daya saing ekonomi negara di peringkat global.