KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berlepas ke Jepun bagi mengetuai delegasi Malaysia dalam misi Diplomasi MADANI untuk memperkukuh kerjasama strategik dan keterjaminan tenaga negara, ketika dunia berdepan krisis bekalan tenaga global.
Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata, pada lawatan itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi bagi membincangkan perkembangan hubungan dua hala serta merintis kerjasama baharu Malaysia-Jepun, khususnya dalam bidang ekonomi, pelaburan dan keterjaminan tenaga.
Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau juga akan menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31: Future of Asia serta syarahan khas di Universiti Tokyo mengenai cabaran dan masa depan rantau ini dalam landskap global yang semakin mencabar.
“Doakan agar misi kita dipermudah dan membawa hasil yang bermanfaat buat rakyat serta negara,” kata beliau.
Semalam, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan Anwar akan mengadakan lawatan rasmi ke Jepun bermula hari ini hingga 10 Jun atas jemputan kerajaan Jepun.
Jepun merupakan antara rakan ekonomi paling penting bagi Malaysia, menjadi rakan dagang kelima terbesar negara sejak 2024.
-- BERNAMA