Malaysia kini menyertai Kerangka Inklusif (IF) bagi pelaksanaan global Pelan Tindakan Penghakisan Asas Cukai dan Pemindahan Keuntungan (BEPS) sebagai Sekutu BEPS yang membuktikan usaha berterusan negara mematuhi piawaian percukaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan berkata sebagai Sekutu BEPS, Malaysia kini mempunyai suara sama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) serta terlibat secara langsung dalam pembentukan undang-undang percukaian antarabangsa bagi menangani isu-isu BEPS.

Pengumuman mengenai penyertaan Malaysia itu dibuat oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani ketika menghadiri mesyuarat kedua IF di ibu pejabat OECD di Paris, Perancis, pada 25-27 Jan, 2017.

Langkah itu juga bagi memastikan komitmen Malaysia dalam pelaksanaan amalan terbaik percukaian, khususnya membabitkan transaksi rentas sempadan.

"Pelaksanaan ini yang diterajui oleh OECD amat penting kerana bertujuan merapatkan jurang sedia ada yang membolehkan keuntungan dipindahkan secara 'artificial' (buatan) kepada negara yang mengenakan cukai rendah atau tidak mengenakan sebarang cukai," kata Johari.

Beliau berkata, Malaysia bersama-sama negara lain akan membantu serta mengadakan kerjasama untuk melaksana dan memantau Pelan Tindakan BEPS khususnya berkaitan empat piawaian minimum di bawah pelan berkenaan iaitu Menangani Amalan Cukai Berbahaya (Tindakan 5), Mengelak Penyalahgunaan Perjanjian (Tindakan 6), Pelaporan Negara (Tindakan 13) dan Mempertingkatkan Resolusi Pertikaian (Tindakan 14).

Johari berkata, pada mesyuarat itu, Malaysia juga menegaskan komitmen untuk mematuhi sepenuhnya piawaian percukaian antarabangsa, terutamanya dalam aspek pertukaran maklumat secara automatik.

"Setakat ini, Malaysia menandatangani Perjanjian Pematuhan Pihak Berkuasa Pelbagai Hala membabitkan Piawaian Pelaporan Lazim dan Pelaporan Negara Oleh Negara serta Konvensyen Bantuan Pentadbiran Bersama dalam Perkara Berkaitan Cukai," katanya.

Menerusi inisiatif itu juga, kata Johari, Malaysia dijangka memulakan pertukaran maklumat bagi tujuan percukaian dengan negara lain yang terbabit, pada Januari 2018.

-- BERNAMA