TUMPAT: Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu turut berkemungkinan menjadi sasaran sindiket penyeludupan dadah yang kini dikesan cuba menggunakan lapangan terbang alternatif susulan kawalan keselamatan ketat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata ini sepertimana yang berlaku apabila terdapat cubaan untuk menggunakan lapangan terbang di Pulau Pinang dan Ipoh apabila kawalan diperketatkan di KLIA.
“Jadi kita percaya lapangan terbang lain juga akan menjadi sasaran sindiket ini,” katanya kepada pemberita selepas program Lawatan Kebajikan dan Penyerahan Replika Cek Insurans Kelompok Koperasi PDRM di Kampung Tengah Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Hussein berkata cubaan menggunakan lapangan terbang alternatif itu menunjukkan sindiket berkenaan sentiasa cuba mengambil kesempatan terhadap sebarang peluang yang ada.
Beliau berkata sehubungan dengan itu, kawalan keselamatan perlu diperketatkan secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada KLIA, sebaliknya meliputi semua lapangan terbang.
Hussein berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil dan akan melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, sederhana serta panjang bagi meningkatkan kawalan keselamatan di semua lapangan terbang.
Katanya, langkah itu penting bagi mengekang sindiket daripada mengeksploitasi kelemahan sistem keselamatan atau mengalihkan operasi mereka ke lokasi lain apabila pihak berkuasa memperketatkan kawalan di sesuatu laluan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata kerajaan perlu memperluas penggunaan teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kegiatan penyeludupan dadah di lapangan terbang lain.
-- BERNAMA