KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau akan sentiasa mengenang keteguhan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Seri A Samad Said yang memegang prinsip dan kecintaannya yang begitu mendalam pada bahasa dan sastera.
Menerusi hantaran di platform X hari ini, Anwar berkata Allahyarham telah memberi pengajaran bahawa kekuatan bahasa dan sastera berupaya membina bangsa yang berani dan bermaruah.
“Semangat itu akan terus mengiringi langkah kita dalam perjuangan ini. Berehatlah dengan tenang, Pak Samad. Al-Fatihah,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mengimbau kenangan beliau teringatkan suara Allahyarham mendeklamasikan puisi “Di Atas Padang Sejarah” di Stadium Merdeka di sini ketika Himpunan Kebangkitan Rakyat, kira-kira 13 tahun lepas.
“Di hadapan puluhan ribu rakyat yang berhimpun, bait-bait puisinya membakar semangat kita untuk terus bangkit dan berani bersuara menentang kezaliman.
“Tatkala suara rakyat cuba dibungkam dan jentera pemerintahan digunakan untuk menekan mereka yang berani bersuara, Pak Samad memilih untuk melawan dengan puisi,” kata Anwar.
A. Samad menghembuskan nafas terakhir pada 6.10 petang semalam selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit tua selain turut menghidap diabetes.
Allahyarham yang dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka merupakan penerima Anugerah Sastera Negara keempat pada 1985 dan terkenal dengan karya agung seperti novel Salina, Sungai Mengalir Lesu serta Hujan Pagi.
Semalam, Perdana Menteri hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini pada 10.55 pagi tadi.
-- BERNAMA