KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura boleh bekerjasama untuk meningkatkan kesalinghubungan perniagaan dalam ASEAN dan memacu perdagangan intra-ASEAN dengan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara dalam rantaian bekalan, ekonomi digital serta industri utama.
Aspek itu ditekankan semasa Dialog Menteri Tahunan (AMD) Ketiga antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dengan Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Industri Singapura (METI), yang diwakili Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong yang juga Menteri Perdagangan dan Industri negara itu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kedua-dua negara boleh meneroka kaedah untuk memudahkan hubungan perdagangan dan perniagaan yang lebih luas dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan bahagian perdagangan intra-ASEAN.
“Perdagangan intra-ASEAN belum dimanfaatkan sepenuhnya. Jumlah perdagangan antara 11 negara ASEAN ialah US$4.37 trilion, dan daripada jumlah itu, perdagangan sesama negara ASEAN hanya sekitar US$800 bilion hingga US$900 bilion.
“Masih banyak lagi yang boleh kita capai, dan saya telah berbincang dengan Gan mengenai potensi untuk meningkatkan hubungan perniagaan antara semua negara ASEAN.
“Matlamat kita pada akhirnya adalah untuk memastikan 50 peratus daripada jumlah perdagangan US$4.37 trilion itu dijalankan dalam kalangan negara ASEAN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Johari berkata Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) juga akan menjadi strategi penting untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN.
Menurutnya Malaysia mencadangkan DEFA ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 dan pada masa ini adalah penting untuk beralih kepada pelaksanaan dan pengoperasian, dengan Singapura menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN pada masa ini.
“Sudah tiba masanya untuk Singapura mengambil inisiatif ini, dan kita perlu membantu mereka bagi memastikan kita menggunakan DEFA sebagai antara strategi untuk meningkatkan lagi perdagangan intra-ASEAN,” kata Johari.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN boleh memanfaatkan hubungan serantau yang lebih kukuh dalam hampir semua sektor, khususnya rantaian bekalan dan keselamatan makanan, serta sektor elektrik dan elektronik.
“Walaupun tidak semua industri terlibat, sebahagian besar tumpuan kita adalah untuk memanfaatkan ASEAN bagi rantaian bekalan kita terutama dari segi keselamatan makanan.
“Selain itu, terdapat banyak bidang lain yang boleh kita manfaatkan daripada hubungan kukuh yang ditawarkan oleh Singapura,” kata Johari.
AMD antara Malaysia dan Singapura itu menghimpunkan wakil kerajaan dan perniagaan bagi mengenal pasti serta menangani isu yang memberi kesan kepada perdagangan dua hala, perkhidmatan dan kegiatan ekonomi.
-- BERNAMA