KUALA LUMPUR: Negara tidak berada dalam krisis nilai mata wang ringgit, biarpun ia dalam keadaan melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini, beliau berkata, walaupun kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS telah menyusut nilai pada tahun ini, namun ia berbeza daripada keadaan yang berlaku semasa krisis kewangan Asia 1998.

Jelasnya lagi, ia kerana tekanan ke atas mata wang kini didorong oleh faktor luaran dan bukan disebabkan kelemahan struktur asas ekonomi domestik.

“Sebagai contoh, nisbah pinjaman terjejas bersih untuk sistem perbankan setakat suku kedua 2022 adalah pada 1.1 peratus dan bukannya 18.6 peratus seperti dalam tempoh krisis kewangan Asia,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH - Hang Tuah Jaya), yang mahu mengetahui pelan induk Kerajaan, garis panduan setiap Kementerian serta perancangan segera Kerajaan untuk menangani krisis nilai mata wang ringgit yang semakin melemah kini dan berada pada paras terendah dalam tempoh 24 tahun jika dibandingkan dengan dolar AS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia dan kebanyakan negara di mana mata wang mereka terkesan dengan peningkatan dolar AS tidak mengalami sebarang krisis ekonomi atau kewangan.

Malah, jelasnya lagi, pertumbuhan ekonomi Malaysia semakin meningkat dan kadar pengangguran telah menurun sejak tempoh pandemik COVID-19.

“Walaupun volatiliti dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing meningkat, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pemulihan pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur,” katanya lagi.

Tengku Zafrul berkata, kedudukan asas ekonomi dan sistem kewangan negara masih teguh dan berdaya tahan.

Hakikatnya, tambah beliau lagi, kedudukan aset luar Malaysia adalah kukuh, dicerminkan oleh pegangan aset luar oleh institusi kewangan dan syarikat korporat.

“Selain itu, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel akan terus memainkan peranan yang penting sebagai penyerap kejutan luaran tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi domestik.

“Malaysia juga masih mampu bertahan dari kejutan luar disokong oleh sistem perbankan yang teguh. Kecairan pasaran kewangan Malaysia juga disokong oleh kehadiran pelabur institusi domestik serta pasaran kewangan yang mendalam dan mudah tunai yang tinggi.

“Perkara ini dapat memudahkan pengantaraan aliran portfolio yang teratur, lantas mengurangkan kesan kejutan kewangan luaran,” katanya lagi.