Keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat untuk meningkatkan kadar faedahnya tidak akan memberi sebarang kesan besar kepada ekonomi Malaysia.

Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, ekonomi Malaysia yang pelbagai dan berdaya saing membolehkan negara menampan sebarang impak dari perkembangan terbaru ini.

Menurut Wahid, kepelbagaian dan asas ekonomi negara yang kukuh akan memastikan tiada sebarang aliran keluar modal dari bursa tempatan.

“Kita mempunyai sumber pendapatan yang pelbagai, pasaran eksport yang pelbagai, tahap disiplin fiskal yang baik dan rizab yang mencukupi untuk berdepan situasi-situasi sebegini.

Jadi saya percaya tidak ada banyak sebab mengapa pelabur akan mahu mengambil apa-apa langkah yang tidak dijangka (membawa pelaburan keluar dari Malaysia),” kata Wahid.

Beliau turut menjangka situasi ini juga tidak akan membawa sebarang kesan signifikan kepada ringgit.

“Saya percaya ia akan berlegar di sekitar paras semasa sekarang dan tidak akan ada banyak perubahan kepada apa yang kerajaan telah gunakan selama ini, dari segi mekanisme ramalan juga,” tambah beliau.

Tambah Wahid, ini juga kerana kenaikan kadar faedah yang dilakukan oleh Rizab Persekutuan Amerika adalah secara berperingkat dan kesan penantiannya telah pun dapat dilihat dalam pasaran sejak beberapa minggu lalu.

Wahid menambah, tiada juga keperluan bagi Malaysia turut meninjau semula kadar faedahnya susulan perkembangan ini.

“Kadar Dasar Semalaman negara kini ialah 3.25 peratus, jika anda bandingkannya dengan kadar faedah Amerika Syarikat iaitu pada kadar 0.25 ke 0.5 peratus, walaupun dengan pergerakan yang menaik secara beransur-ansur katakan dengan kenaikan 1 peratus sekalipun, masih terdapat jurang 2 peratus antara kadar faedah Amerika dan kadar faedah Malaysia.

Dan seperti apa yang telah dikatakan oleh Bank Negara sebelum ini, kadar faedah di Malaysia kekal akomodatif kepada ekonomi dan menyokong pelaburan,” kata beliau.

Wahid bercakap kepada pemberita sewaktu memberi ucap tama Unjuran Ekonomi Malaysia Untuk Tahun 2016 di sini hari ini.