KUALA LUMPUR: Malaysian Genomics Resource Centre Bhd (MGRC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka peluang pengedaran produk dan perkhidmatan biofarmaseutikal dan genomik dengan Ajlan & Bros Medical Company.

Ajlan, yang berpangkalan di Riyadh, Arab Saudi, adalah sebahagian daripada konglomerat multinasional yang ditubuhkan pada 1979 dengan pelaburan ekuiti persendirian global, hartanah dan perindustrian yang meluas.

Pengarah Eksekutif MGRC, Azri Azerai berkata, kerjasama itu membuka peluang yang sangat baik kepada kumpulan untuk meneroka pasaran Asia Barat dan Afrika Utara (MENA).

"Ini terutamanya dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di mana kami melihat banyak pertumbuhan dalam pertanian dan akuakultur akibat kesan perubahan iklim dan diagnosis kesihatan untuk kumpulan populasi yang berbeza," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sebagai sebahagian daripada MoU, pihak-pihak terbabit akan meneroka kemungkinan Ajlan menjadi wakil pemasaran dan pengedaran untuk MGRC bagi ujian saringan genetik, sel stem mesenchymal dan produk exosome.

Ajlan juga akan mengenal pasti peluang R&D komersial untuk penjujukan dan analisis genom di rantau MENA bagi bidang seperti pertanian, akuakultur, perladangan, penjagaan kesihatan dan bioteknologi perindustrian.

Sementara itu, MGRC pula akan menganalisis sampel untuk ujian saringan genetik serta menyediakan Ajlan dengan kepakaran genomik dan bioinformatik untuk membida projek melalui Ajlan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ajlan & Bros Holding Group, Ali AlHazmi berkata, pihaknya berharap dapat bekerjasama dengan MGRC untuk membawa perkhidmatan dan produk biofarmaseutikal dan genetiknya ke Arab Saudi, yang merupakan landasan pelancaran yang baik ke rantau MENA.

"MoU ini hanyalah permulaan kerana kami meneroka bagaimana kami boleh bekerjasama rapat dalam beberapa bulan akan datang," katanya. - DagangNews.com