KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi menaik taraf Projek Inovasi Pencahayaan Ke Arah Kelestarian Bandar 2.0 (I Lite U 2.0) di sepanjang koridor Jalan Bukit Bintang, sempena Sambutan Perarakan Tahun Baharu: 70 Tahun Kegemilangan Malaysia pada 2 Jan tahun depan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek berkenaan adalah kesinambungan daripada I Lite U yang terdahulu dengan inisiatif itu bertujuan memperindah landskap bandar serta memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan malam bertaraf antarabangsa.
Beliau berkata kerja menaik taraf pencahayaan yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu dijadual siap sepenuhnya pada pertengahan bulan depan, merangkumi empat komponen utama, iaitu pencahayaan hiasan jalan, laluan pejalan kaki, pintu gerbang dan papan tanda pelancongan.
“Tahun ini, kita memperkenalkan I Lite U dengan satu visi yang jelas, iaitu untuk mentransformasikan Bukit Bintang menjadi sebuah destinasi yang lebih meriah, menarik, selamat dan mesra pengunjung sekali gus memperkukuh daya tarikan ibu kota Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya di sini hari ini.
Nga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Sambutan Perarakan Tahun Baharu: 70 Tahun Kegemilangan Malaysia yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr M Noor Azman Taib, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL Shamshul Joehari Zainal Mokhtar dan Pengerusi Persatuan Pelancongan Bukit Bintang Kuala Lumpur City Centre (BBKLCC) Ng Yih Chen.
Bertemakan “Nyalakan Juara Dalam Dirimu” (Light Up The Champion In You), beliau berkata inisiatif itu turut bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan rakyat bersempena dengan ulang tahun ke-70 kemerdekaan negara tahun depan.
Terdahulu, sebanyak enam Ikon Gemilang (Magnificent) Malaysia diperkenalkan pada majlis itu, iaitu Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi Ella Aminuddin, bekas ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David, jaguh larian menara negara Soh Wai Ching, jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou dan Miss World Malaysia Taanusiya Chetty.
“Ikon ini akan turut mengambil bahagian dalam perarakan menggunakan bas terbuka, manakala lebih ramai tokoh inspirasi negara akan diumumkan pada fasa seterusnya,” katanya.
Beliau berkata sambutan turut dimeriahkan dengan perarakan kontinjen pihak berkuasa tempatan (PBT), pasukan pancaragam sekolah dan badan beruniform, kereta berhias, pertunjukan bunga api serta konsert dan persembahan artis tempatan.
Nga berkata Sambutan Perarakan Tahun Baharu: 70 Tahun Kegemilangan Malaysia akan diadakan di pekarangan Pavilion Bukit Bintang dan bakal disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA