KUALA LUMPUR : Malaysian Rating Corporation Berhad mengesahkan penarafan MARC-2IS terhadap program Nota Komersial Islamik (ICP) Bina Darulaman Bhd. (BDB) bernilai RM100 juta bagi tempoh lima tahun.

Dalam tinjauan kedudukan terbaru yang dikeluarkan pada Ogos 2022, agensi itu menyatakan penarafan itu diberikan berdasarkan pemilikan tanah BDB yang sedia ada untuk pembangunan hartanah, kecairan yang mencukupi untuk memenuhi operasi jangka pendek dan komitmen kewangan, aliran keuntungan yang stabil daripada kontrak penyelenggaraan jalan dan peningkatan permintaan dalam sektor pembinaan.

Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli, berkata agensi tersebut juga menyatakan status BDB selaku entiti milik kerajaan Kedah, menjadikan ia di kedudukan baik untuk memperoleh kontrak pembinaan negeri, yang juga merupakan antara faktor utama BDB dipertimbangkan sebagai pilihan utama.

"Kajian MARC mengesahkan strategi dan pelaksanaan pengurusan BDB dalam mewujudkan model perniagaan yang lancar untuk syarikat dan penjanaan nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

“Pelaksanaan dan penyampaian pelan pemulihan BDB – yang dirangka untuk menangani keadaan operasi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 – adalah sebab utama mengapa BDB telah muncul pada kedudukan kewangan dan operasi lebih kukuh pada tahun 2022," katanya dalam satu kenyataan.

Iskandar menyatakan bahawa kunci kejayaan BDB adalah penstabilan perdapatan, pengoptimuman kos, kecekapan operasi yang telah dilipat-gandakan, pendigitalan dan pembangunan modal insan yang telah mewujudkan daya saing dan dinamisme yang semakin meningkat.

Beliau menambah bahawa BDB komited untuk terus mengimbangi semula dan mengoptimumkan operasi perniagaan dalam memastikan kesinambungan dan daya tahan syarikat.

"Normalisasi terhadap rantaian bekalan dan penyambungan semula perniagaan, kepada operasi seperti sedia kala dapat mengatasi permintaan yang meningkat untuk setiap produk dan perkhidmatan. Perniagaan teras BDB - Pembangunan Hartanah dan Kejuruteraan, Pembinaan dan Kuari (ECQ) - berada di kedudukan yang baik untuk memaksimumkan peluang perniagaan dalam kondisi perniagaan yang semakin baik ini.

"Divisyen hartanah BDB akan memberi tumpuan untuk membuka potensi nilai pemilikan tanah dengan membangunkan perbandaran sedia ada, dan membina perbandaran perumahan mampu milik yang baru bersama rakan kongsi kami.

Pada masa yang sama, Iskandar berkata, ECQ akan terus mengukuhkan aliran pendapatan syarikat yang stabil daripada projek penyelenggaraan jalan negeri yang sedang berlangsung, dan meningkatkan permintaan untuk operasi kuarinya.

BDB menyasarkan untuk mendapatkan kontrak dan peluang perniagaan baharu di luar Kedah pada 2023 untuk meningkatkan profilnya.

Matlamat ini akan dicapai dengan komitmen berterusan BDB terhadap analisis yang mantap dan proses membuat keputusan berkaitan dengan pelaburan projek dan penyampaian operasi.