Skip to main content

Dunia

Mata wang Asia merosot, pelabur sangsi prospek gencatan senjata

41467105560_RupiahNotes.jpg
Rupiah Indonesia mendahului trend penurunan apabila menjunam melepasi paras 17,500 bagi setiap dolar AS buat kali pertama dalam sejarah, manakala peso Filipina susut 0.8 peratus bagi sesi ketiga berturut-turut. -Gambar fail

SINGAPURA: Mata wang Asia terus mencatatkan penyusutan ketara hari ini berikutan kebimbangan terhadap kegagalan rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Tehran, selain lonjakan harga minyak mentah global yang menjejaskan ekonomi rantau ini.

Rupiah Indonesia mendahului trend penurunan apabila menjunam melepasi paras 17,500 bagi setiap dolar AS buat kali pertama dalam sejarah, manakala peso Filipina susut 0.8 peratus bagi sesi ketiga berturut-turut.

Penganalisis mata wang kanan MUFG, Lloyd Chan berkata, rupiah kekal di bawah tekanan hebat berikutan gangguan bekalan tenaga yang berlarutan sehingga meningkatkan risiko kekurangan bahan api di negara berkenaan.

“Konflik yang berlarutan selama beberapa minggu ini terus memberi tekanan kepada mata wang ekonomi Asia yang sangat bergantung kepada import tenaga,” katanya kepada Reuters.

Sejak konflik di Asia Barat bermula pada acpenghujung Februari lalu, peso Filipina dilaporkan telah menyusut hampir lima peratus nilai berbanding dolar AS.

Sentimen pasaran turut terjejas selepas Presiden AS, Donald Trump, menyifatkan maklum balas Iran terhadap cadangan damai sebagai "tidak boleh diterima", sekali gus memadamkan harapan pelabur untuk melihat kestabilan semula di Selat Hormuz.

Di Malaysia, ringgit turut menerima tempias apabila didagangkan pada RM3.9315 berbanding dolar AS setakat jam 3.45 petang, berdasarkan data Xe.com.

Penganalisis ekonomi menjangkakan turun naik mata wang serantau akan berterusan selagi tiada kata putus dicapai dalam usaha diplomatik bagi menamatkan peperangan di rantau berkenaan.

Must Watch Video