KUALA LUMPUR: Mata wang serantau termasuk ringgit mengakhiri minggu ini dengan lebih lemah berbanding dolar AS selepas data indeks harga pengeluar (PPI) Amerika Syarikat (AS) menjadi lebih tinggi daripada jangkaan, sekali gus, membatalkan unjuran penurunan kadar faedah AS pada Jun.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7050/7095 berbanding dolar US daripada 4.6845/6878 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa won Korea, yang susut nilai sebanyak 0.91 peratus, mendahului penurunan serantau, diikuti oleh ringgit, peso Filipina serta rupiah Indonesia, yang kehilangan masing-masing 0.35, 0.29 dan 0.24 peratus.

IHPR AS teras bagi Februari kekal stabil dengan peningkatan 2.0 peratus dari tahun ke tahun, melepasi jangkaan 1.9 peratus. Secara bulanan, laporan itu menunjukkan kenaikan 0.3 peratus berbanding 0.5 peratus sebelumnya, mengatasi ramalan 0.2 peratus yang dijangkakan.

Mohd Afzanizam berkata mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada 19-20 Mac minggu depan akan menjadi fokus utama memandangkan pasaran mencari petunjuk yang lebih jelas mengenai prospek kadar faedah AS.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pengumuman PPI Februari yang lebih panas daripada jangkaan juga memberikan hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi, mendorong pasaran mengurangkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS memotong kadar faedah pada Jun depan.

"Oleh itu, pasaran pertukaran asing Asia diniagakan lemah berbanding dolar AS. Sentimen ini diburukkan lagi dengan penyusutan jualan rumah terpakai di China, menekankan kebimbangan hartanah yang berterusan," kata Innes.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.1637/1669 daripada 3.1691/1721 yang disaksikan semalam serta menokok berbanding pound Britain kepada 6.0003/0060 daripada 6.0021/ 0072.

Bagaimanapun, ia lemah berbanding euro kepada 5.1275/1324 daripada 5.1243/1287 sebelumnya.

Ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ia turun berbanding baht Thailand kepada 13.1480/1661 daripada 13.1470/1641 dan jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5183/5219 daripada 3.5160/5193 sebelumnya.

Ringgit turut melemah berbanding peso Filipina kepada 8.47/8.48 daripada 8.45/8.46 semalam dan adalah lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 301.5/302.0 daripada 300.5/301.0.

-- BERNAMA