MATRADE komited manfaatkan peruntukan belanjawan 2026 perkasakan PMKS

MATRADE komited memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran global. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) komited memanfaatkan sepenuhnya peruntukan yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk menembusi pasaran global.
Peruntukan strategik itu termasuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) melibatkan sejumlah RM60 juta, pinjaman mudah sebanyak RM500 juta melalui EXIM Bank Malaysia Bhd, pembiayaan PKS Halal sehingga RM100 juta (SME Bank) dan jaminan kerajaan (SJPP) sehingga RM2 bilion serta pinjaman sebanyak RM200 juta di bawah Program Jaguh Serantau.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata dana ini adalah pencetus untuk syarikat Malaysia 'melangkah keluar' dan menguasai pasaran berpotensi tinggi.
"Ini bukan sahaja untuk mengukuhkan kedudukan sedia ada malah, membina jenama Malaysia yang diyakini di persada dunia melalui produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi yang diiktiraf global," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Katanya sejajar dengan pengumuman tersebut, MATRADE akan terus memberi tumpuan kepada pasaran baharu yang menawarkan potensi pertumbuhan tinggi termasuk Amerika Latin, Asia Tengah dan Asia Selatan.
"Dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, eksport Malaysia ke Amerika Latin, Asia Tengah dan Afrika, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 26.3 peratus, 22.3 peratus dan 4.7 peratus," katanya.
Beliau berkata Malaysia, yang kini berada di tangga ke-25 sebagai pengeksport terbesar dunia menurut laporan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), berhasrat untuk terus memperkukuh kedudukannya dalam rantaian perdagangan global.
"Dengan pengumuman ini, saya yakin kita mempunyai iltizam dan keupayaan untuk melonjakkan lagi kedudukan perdagangan negara dari semasa ke semasa, sekali gus menjamin kemakmuran ekonomi untuk generasi akan datang," katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami