KUALA LUMPUR: Himpunan Terbesar Penjaja Malaysia bakal menjadi antara tarikan utama Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Dataran MPKj, Stadium Kajang, Selangor, bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam satu kenyataan memeklumkan, karnival berkenaan menghimpunkan lebih 300 usahawan dalam usaha memperkenalkan produk tempatan, memperluas peluang perniagaan serta mengiktiraf sumbangan penjaja dan peniaga kecil kepada ekonomi negara.
"Berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam, karnival itu menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung, termasuk jualan produk usahawan, promosi istimewa, aktiviti kekeluargaan dan pengisian berkaitan keusahawanan yang sesuai untuk seisi keluarga.
"Antara tarikan yang dinanti-nantikan ialah Jualan MADANI yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus bagi produk terpilih, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan barangan pada harga lebih berpatutan.
Bagi mereka yang ingin meneroka peluang perniagaan, HPPK 2026 turut menyediakan platform untuk mengenali pelbagai produk tempatan serta mendapatkan maklumat berkaitan sokongan dan pembangunan usahawan," jelas kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu lagi, penganjuran karnival bukan sekadar memberi ruang kepada orang ramai untuk membeli-belah dan berhibur, malah menjadi peluang kepada penjaja serta peniaga kecil untuk mempromosikan produk, memperkenalkan jenama dan meluaskan jaringan pelanggan.
"Kemuncak program dijadualkan berlangsung pada 1 November ini menerusi majlis perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada jam 11 pagi," jelas kenyataan itu.