Skip to main content

Malaysia

MUDA sambut baik CSA MADANI, gesa diikat undang-undang menerusi pindaan Akta

MUDA sambut baik pemeteraian CSA bersama Kerajaan MADANI yang menggariskan reformasi pengasingan kuasa Peguam Negara dan had penggal PM. - Gambar fail
MUDA sambut baik pemeteraian CSA bersama Kerajaan MADANI yang menggariskan reformasi pengasingan kuasa Peguam Negara dan had penggal PM. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyambut baik pemeteraian Memorandum Persefahaman dan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (Confidence and Supply Agreement - CSA) bersama Kerajaan MADANI, yang disifatkan sebagai langkah penting memperkukuh institusi negara.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, perjanjian tersebut bukan sekadar mengenai agihan peruntukan, sebaliknya mengangkat agenda utama mengurangkan pemusatan kuasa di tangan Perdana Menteri.

Namun beliau menegaskan, terma-terma reformasi yang dipersetujui itu perlu segera dibawa ke Parlimen untuk dipinda dalam Perlembagaan dan diaktakan supaya mengikat secara undang-undang bagi mana-mana pentadbiran pada masa hadapan.

"Kadangkala orang terlalu fokus berkenaan isu peruntukan. Tetapi peruntukan tanpa diaktakan tidak akan membawa perubahan yang besar.

"Sebab itu dalam perjanjian tersebut, yang menandatangani perlu menyokong pindaan Perlembagaan AGBP (pengasingan Peguam Negara dan Pendakwa Raya). Itu akan terpakai maksudnya mana-mana kerajaan yang datang lepas ini tidak boleh semudah-mudahnya mersenjatakan institusi Pendakwa Raya dan hadkan tempoh pemerintahan Perdana Menteri kepada dua penggal," katanya ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Syed Saddiq berkata, memorandum itu turut memuatkan fasa penting untuk memulakan proses penggubalan akta peruntukan kawasan Parlimen yang adil dan saksama.

"Fasal isu peruntukan itu, ia juga termaktub bahawa ia merupakan permulaan kepada proses untuk mengaktakan. Jadi saya fikir itu adalah kemajuan tulen dan harapan saya ia dapat dilakukan secepat yang mungkin," jelasnya.

Mengulas mengenai jumlah bantuan, beliau mendedahkan dokumen perjanjian secara khusus menggariskan prinsip kesaksamaan antara wakil rakyat.

"Dalam perjanjian itu ada tulis satu baris penting iaitu 'peruntukan bagi Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang setara'. Maksudnya ia perlu diagihkan secara adil, tidak boleh Ahli Parlimen pembangkang hanya diberikan lima peratus daripada apa yang Ahli Parlimen kerajaan dapat," tambahnya.

Syed Saddiq yang mengesahkan telah melalui lapan sesi rundingan sepanjang dua tahun setengah sebelum persetujuan dicapai berharap persefahaman serupa turut dibuka kepada semua Ahli Parlimen pembangkang yang lain.

Must Watch Video

Advertisement