KUALA LUMPUR: Maxis Bhd telah melancarkan kempen "Balas Budi dengan 4G" yang bertujuan untuk menyokong dan membantu pelanggan dalam membuat peralihan kepada rangkaian 4G.

Penyedia perkhidmatan telekomunikasi itu telah terlibat secara proaktif serta berkomunikasi dengan pelanggan 3G dari tiga segmen iaitu pengguna mudah alih, syarikat mudah alih dan perusahaan mesin ke mesin (M2M)/Internet pelbagai Perkara (IoT) bagi tujuan dinaik taraf secara berperingkat ke rangkaian 4G sebelum akhir tahun.

"Kempen ini pada dasarnya mendorong pengguna 4G sedia ada untuk membantu ibu bapa, keluarga dan rakan mereka yang masih menggunakan peranti 3G supaya beralih ke peranti 4G dengan pantas termasuk bagaimana mempunyai akses mudah ke peranti 4G," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Jualan dan Perkhidmatan, Patrick Er berkata pemberhentian perkhidmatan 3G dibuat dengan keutamaan kepada pelanggannya dan syarikat komited bagi membantu mereka mengambil setiap langkah.

"Kami juga meminta pengguna 4G kami untuk mendorong keluarga serta rakan mereka yang masih menggunakan 3G, agar mula beralih ke rangkaian dan peranti 4G supaya tidak ada yang tertinggal," katanya.

Maxis turut memperkenalkan promosi yang menarik serta tawaran penggabungan peranti, termasuk pelan Zerolution dan pelan peranti RM1 dengan komitmen bulanan yang berpatutan untuk pelanggan yang mahu menaik taraf ke telefon 4G.

"Walaupun peralihan 3G tidak akan menjejaskan pengguna Maxis 4G, mereka perlu mengaktifkan Voice Over LTE (VoLTE) pada peranti mereka," katanya lagi.

VoLTE, yang dilancarkan pada Oktober 2020, adalah teknologi canggih yang menyampaikan audio suara yang lebih jelas di seluruh rangkaian Maxis, mengurangkan kebisingan latar belakang dan mampu untuk melayari internet pada kelajuan 4G walaupun dalam panggilan.

Pelanggan boleh menghubungi di 123 atau melayari https://www.maxis.com.my/en/faq/network/mobile/3g-sunsetting/ untuk maklumat lebih lanjut mengenai penamatan rangkaian 3G atau meminta bantuan berkenaan peralihan peranti, manakala pelanggan Maxis Business boleh menghubungi pengurus akaun mereka secara langsung atau menghubungi 1919 untuk mendapatkan bantuan.

-- BERNAMA