KUALA LUMPUR: Bank terbesar di Malaysia dari segi permodalan pasaran, Malayan Banking Berhad (Maybank) berhasrat untuk mengeluarkan pembiayaan lestari mencecah RM50 bilion menjelang tahun 2025.

Ini merupakan komitmen pertama yang digariskan Maybank daripada empat matlamat kemampanannya sebagai langkah untuk mendorong pertumbuhan dan memperkukuhkan kedudukan kumpulan dalam menerajui aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) di peringkat serantau menjelang tahun tersebut.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias optimis bahawa organisasinya mampu mencapai sasaran melebihi RM50 bilion berdasarkan prestasi yang dicatatkan kumpulan pada tempoh beberapa tahun sebelum ini.

“Menjelang tahun 2025, apabila kita melihat kepada stok aset yang kami ada, anda sekurang-kurangnya akan menyaksikan bahawa RM50 bilion daripada pinjaman kami diperuntukkan untuk bidang ini (kelestarian).

“Sehingga Mac 2021, kami telah mengeluarkan kira-kira RM8 bilion untuk pembiayaan hijau termasuk tenaga boleh diperbaharui, namun sasaran RM50 bilion ini tidak terhad kepada sektor tenaga boleh diperbaharui dan akan merangkumi pelbagai aspek,” katanya dalam sidang media secara maya berhubung Maybank’s Sustainability Day, pada Isnin.

Turut hadir, Ketua Pegawai Kelestarian Maybank, Shahril Azuar Jimin dan Ketua Pegawai Risiko Maybank, Gilbert Kohnke.

Tiga lagi komitmen lain yang digariskan Maybank adalah menambah baik kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025; mencapai kedudukan neutral karbol bagi pelepasan Skop 1 dan 2 menjelang 2030 serta kedudukan setara sifar karbon bersih menjelang 2050; dan mencapai sejuta jam setahun untuk kelestarian dan 1,000 hasil berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menjelang 2025.

EMPAT komitmen yang digariskan Maybank bagi mencapai matlamat ESG kumpulan menjelang 2025.

Sekitar Mei 2021, Maybank mengumumkan bahawa kumpulan akan menghentikan pembiayaan aktiviti batu arang baharu sebagai sebahagian daripada agenda lestari, di mana merangkumi 0.2% daripada portfolio keseluruhannya.

Tambah Abdul Farid, Maybank melihat 'alasan yang jelas' di sebalik langkah tersebut berdasarkan tahap pelepasan karbon daripada aktiviti batu arang yang menjejaskan alam sekitar.

“Terdapat banyak lagi sektor lain yang menyumbang kepada pemanasan global, sebagai contoh penebangan hutan.

"Kami komited untuk tidak lagi membiayai aktiviti batu arang baharu pada masa akan datang, dan tidak akan terlibat dengan penebangan hutan juga,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun menyaksikan klien Maybank dari sektor perladangan seperti minyak sawit giat meningkatkan aspek EGS mereka, termasuk pensijilan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Sementara itu, Shahril berkata, lebih daripada 15 aliran kerja dan sub pasukan mereka sejak tahun lalu telah merumuskan sekitar 180 Rancangan Pelaksanaan Terperinci (DIP) di bawah empat komitmen berkenaan.

Ujar beliau, aliran kerja juga akan memastikan bahawa penglibatan berterusan dilakukan dengan semua pihak berkepentingan yang relevan untuk memastikan keselarasan dengan aspirasi Maybank.

“Komitmen ini melibatkan pelbagai aspek kelestarian, termasuk pinjaman berkait, yang melibatkan gadai janji inovatif dan berkos rendah di mana membolehkan rakyat membeli rumah pertama mereka.

“Ini bukan sahaja melibatkan tenaga atau ‘hijau’, tetapi merangkumi pelbagai aspek kelestarian termasuk sosial,” ujar beliau.

Artikel asal di DagangNews.com