ESSCOM, Perikanan Sabah tangani kegiatan bom ikan di ESSZone

Victor menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Perikanan Sabah, Datin Shuhadah Mustapha. - Gambar ESSCOM
LAHAD DATU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama Jabatan Perikanan Sabah akan merangka strategi jangka panjang bagi menangani kegiatan pengeboman ikan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos berkata beberapa siri perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mencari pendekatan tuntas untuk menangani kegiatan itu termasuk pelaksanaan operasi bersepadu di kawasan tumpuan aktiviti pengeboman ikan.
"Kegiatan pengeboman ikan bukan sahaja menjejaskan hasil tangkapan laut, malah mengancam khazanah marin termasuk batu karang yang menjadi aset penting kepada sektor pelancongan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata ESSCOM bersama Jabatan Perikanan Sabah juga akan melaksanakan sesi libat urus serta kempen kesedaran bertemakan 'Katakan Tidak kepada Bom Ikan' bagi mendidik masyarakat mengenai kesan negatif kegiatan itu.
"Kempen ini turut menekankan supaya orang ramai tidak berurusan dengan penjual ikan yang memperoleh hasil tangkapan melalui aktiviti pengeboman, malah kami bercadang memperluaskan hebahan kempen ini menerusi saluran radio tempatan agar kesedaran lebih meluas," katanya.
Selain itu, Victor berkata tanggungjawab membasmi kegiatan pengeboman ikan tidak hanya terletak pada bahu agensi penguat kuasa, sebaliknya penglibatan komuniti maritim di ESSZone cukup penting dengan melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, beliau berkata usaha memelihara ekosistem laut penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat pesisir yang bergantung kepada hasil tangkapan laut, selain memastikan kelestarian sektor pelancongan di ESSZone.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


