Amanah jadi khianat, pengurus disyaki dalang rompakan pajak gadai

Mohd Yusoff dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas hari ini. - Gambar Bernama
PASIR MAS: Harapkan pegar, pegar makan padi, itulah perumpamaan sesuai digunakan kepada seorang pengurus wanita telah berkhidmat selama 17 tahun di sebuah premis pajak gadai di sini yang disyaki menjadi dalang rompakan barang kemas bernilai RM5.7 juta di tempat dia bekerja.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata wanita berusia lingkungan 40-an itu dipercayai mengkhianati kepercayaan majikannya yang menetap di Terengganu, apabila merancang rompakan bersama teman lelakinya.
"Selain pengurus dan teman lelakinya, polis turut menahan lima individu lain termasuk empat pekerja dan seorang pengawal keselamatan bagi membantu siasatan.
"Kesemua suspek berusia 26 hingga 66 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Rawang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas hari ini.
Mohd Yusoff berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 1 tengah hari Selasa lepas berhubung kes rompakan berkenaan.
Menurutnya, suspek lelaki menggunakan modus operandi dengan menyembur cecair pembasmi kuman dan mengacukan pisau terhadap pelanggan di premis berkenaan sebelum membawa keluar 10.9 kilogram barang kemas bernilai RM5.7 juta yang disimpan di dalam peti besi.
"Hasil siasatan awal menunjukkan kejadian itu telah dirancang dengan teliti oleh pengurus terbabit bersama teman lelakinya.
"Operasi pertama dijalankan di Pasir Mas pada hari kejadian kira-kira 4 petang dan polis menahan empat wanita serta seorang lelaki yang juga pekerja termasuk pengawal keselamatan," katanya.
Mohd Yusoff berkata serbuan kedua dilakukan di sebuah rumah di Rawang, Selangor, sebelum menahan seorang lelaki berusia 49 tahun dan merampas dua bilah pisau, cecair pembasmi kuman serta sejumlah wang tunai.
Beliau berkata berpandukan maklumat suspek, polis kemudian melancarkan serbuan ketiga di sebuah rumah di Kota Bharu pada Sabtu lepas dan menemukan 933 plastik berisi barang kemas bernilai RM5.7 juta.
"Dalam serbuan itu, polis turut menahan pengurus wanita berkenaan serta pemilik rumah terbabit," katanya.
Mohd Yusoff berkata kesemua suspek kini direman hingga Khamis, manakala siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


